21
Ahd, Jan

UTC Kota Kinabalu Terima 3.5 Juta Pengunjung Sejak 2013

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu, di sini, telah memberi perkhidmatan kepada kira-kira 3.5 juta pengunjung yang ingin mendapatkan perkhidmatan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di situ sejak beroperasi pada Disember 2013.

Ketuanya Richard Chiew berkata pusat yang beroperasi dari 8 pagi hingga 9 malam dan tujuh hari seminggu itu mendapat sambutan sangat menggalakkan selain menerima pujian daripada rakyat Sabah, khususnya di Kota Kinabalu yang begitu berpuas hati atas inisiatif kerajaan mewujudkan pusat perkhidmatan sehenti itu.

"Antara maklum balas positif yang diterima daripada pengguna UTC Kota Kinabalu ialah mereka gembira dapat melakukan urusan rasmi dengan lebih mudah dan cepat kerana konsep pusat itu yang menawarkan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan di bawah satu bumbung," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya merekodkan purata jumlah pengunjung seramai 2,000 orang sehari dengan beberapa jabatan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen Malaysia, Pos Malaysia dan Klinik 1Malaysia menerima kunjungan paling ramai.

"Rakyat menerima kewujudan UTC Kota Kinabalu ini secara meluas dan senang hati kerana kesemua perkhidmatan disediakan di sini merangkumi keperluan dan kehendak mereka. Kami berharap lebih ramai pengunjung datang mendapatkan perkhidmatan di sini," katanya.

UTC Kota Kinabalu yang terletak di Jalan Belia, Off Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada November 2014 dan merupakan UTC pertama beroperasi di Sabah.

Dua lagi UTC di negeri ini masing-masing terletak di Tawau dan Keningau, selain perancangan untuk mewujudkan pusat seperti itu di Sandakan.

Richard berkata UTC Kota Kinabalu menempatkan sebanyak 38 jabatan dan agensi kerajaan selain menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti perpustakaan, gymnasium, mesin atm dan kafeteria.

Sementara itu, rata-rata pengunjung UTC Kota Kinabalu yang ditemui melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif mewujudkan pusat itu dan menyifatkan ia sebagai terbaik kerana konsepnya begitu dekat di hati rakyat.

Seorang pekerja swasta, Dayangku Syamira Pengiran Bakar, 28, berkata waktu UTC beroperasi yang sangat fleksibel memudahkan dia berurusan pada luar waktu pejabat, sekali gus menyelesaikan kesemua urusan penting dalam tempoh sehari di bangunan sama.

Beliau mencadangkan agar UTC diperluaskan dan diperbanyakkan lagi pembinaannya di Sabah supaya rakyat secara keseluruhannya dapat menerima manfaat daripada konsep UTC yang menawarkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan di bawah satu bumbung itu.

Seorang lagi pengunjung Ismail Saip, 49, berkata dia memilih dan memanfaatkan sepenuhnya UTC Kota Kinabalu untuk menyelesaikan urusan penting memandangkan lokasinya di pusat bandar itu begitu strategik.

Bagi Rizal Sigal, 43, pula sangat berpuas hati dan sebagai rakyat sememangnya UTC amat diperlukan.

"Fleksibel, mudah dan menjimatkan masa. Kemudahan klinik kesihatan juga ada di sini," katanya.