22
Kha, Feb

Penerbangan Khas Dari Taiwan Sempena Tahun Baharu Cina

Sabah
Typography

SANDAKAN - Bandar ini akan menyambut penerbangan khas dari Taiwan, Taipei terus ke sini pada 16 Februari 2018 sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

 

Ia kesinambungan daripada dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang telah berlangsung di sini pada Disember lepas.

Untuk itu Pengerusi Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) Johnny Lim yang diiringi oleh Timbalan Ketua Pemuda Parti Gerakan Sabah, Chan Tzun Hei mengadakan kunjungan hormat seterusnya memberi taklimat kepada Pengerusi Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah, Haji Yamani Hafez Tan Sri Musa berhubung penerbangan julung kalinya ini.

Hafez memaklumkan bahawa satu kumpulan kecil yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda termasuk Chan dan Johnny telah ditubuhkan khas di Sandakan selepas program dialog TN50 bagi membincang, merancang dan merealisasikan aspirasi-aspirasi yang dibangkitkan pada hari dialog tersebut.

Salah satu aspirasi dialog TN50 adalah menjadikan Sandakan sebagai destinasi pelancongan domestik dan antarabangsa.

Maka dengan usaha gigih daripada pihak swasta, STAN, kerajaan dan pemimpin-pemimpin muda di daerah ini, penerbangan khas dari Taiwan sempena Tahun Baharu Cina ini telah diatur sebagai satu usaha permulaan.

Dalam taklimat tersebut, penerbangan khas yang dikendalikan oleh Malindo Air ini akan membawa penumpang dari Sandakan berlepas dari lapangan terbang di sini pada pukul 2 tengah malam dan dijangka mendarat di Taipei, Taiwan jam 5.30 pagi.

Kemudian kapal yang sama akan membawa 160 warga Taiwan ke Sandakan pada pukul 6.30 pagi dan dijangka mendarat di lapangan terbang pada 10 pagi.

Kumpulan ini akan kembali ke negara asal mereka dari Sandakan pada 20 Februari jam 9 malam dan membawa balik pelancong Sandakan semula pada 21 Februari jam 1.30 tengah malam.

Antara destinasi yang akan dikunjungi oleh pelancong Taiwan adalah Agnes Keith House, Tokong Puh Jih Sih, Sepilok Orang Utan Rehabilitation Center, Sim-Sim, Bilit Kinabatangan, Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary dan Pulau Libaran di samping menikmati juadah dan makanan laut yang segar di bandar ini.

Hafez yang juga Ketua Pemuda Umno Sabah menyatakan sokongan beliau kepada Johnny dan Chan atas usaha mereka dalam pembangunan Sandakan khususnya di sektor pelancongan.

Dengan harapan lebih banyak penerbangan khas dapat dirancang dan diatur ke Sandakan dari negara China, Jepun dan Korea.

Diharap penerbangan-penerbangan terus ke Sandakan ini akan menjadi penerbangan berjadual oleh syarikat penerbangan supaya industri pelancongan di Sandakan dapat dilonjakkan sekaligus membantu menjana ekonomi bandar ini.

Dalam temubual, Chan yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Elopura berkata ini merupakan satu peluang keemasan untuk mempromosi bandar Sandakan ke peringkat antarabangsa.

Katanya, warga Sandakan perlu memberi imej dan layanan yang paling baik untuk mengalu-alukan tetamu kita supaya lebih ramai pelancong asing akan memilih Sandakan sebagai destinasi pelancongan mereka.

Dalam pada itu, peniaga dan golongan muda perlu sedia untuk menawarkan produk pelancongan seperti hiburan, makanan dan hadiah kenangan yang berkualiti untuk menjana ekonomi Sandakan.

Bagi pihak STAN, Pengerusinya iaitu Johnny merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan beliau kepada Hafez dan Chan pada perjumpaan ini serta sokongan mereka dalam menjayakan program pelancongan tersebut.

 

NEW SABAH TIMES