23
Sel, Okt

MKN Sabah Hantar Pulang 699 PATI Warga Filipina

Sabah
Typography

SANDAKAN - Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah meneruskan penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal, dan malam ini melibatkan 699 PATI warga Filipina melalui Pelabuhan Sandakan.

Pengarah MKN Sabah, Datuk Rodzi Md Saad berkata warga Filipina tersebut terdiri daripada 569 lelaki dewasa, 105 perempuan dewasa dan 25 kanak-kanak dihantar ke Zamboanga, Filipina menggunakan sebuah kapal.

Beliau berkata penghantaran balik PATI terbabit yang berusia tujuh bulan hingga 65 tahun, merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani masalah kemasukan PATI di negeri berkenaan.

Sejak Januari lepas sehingga malam ini, 2,345 PATI di negeri ini sudah dihantar pulang ke negara asal mereka, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata jumlah PATI yang dihantar balik ke negara asal termasuk pulang secara sukarela sejak 1990 hingga malam ini, melibatkan 566,890 orang.

BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.