22
Kha, Feb

Kampung Tanduo Jadi Kem Tentera

Sabah
Typography

LAHAD DATU - Kampung Tanduo yang terletak di hujung gugusan FELDA Sahabat, kira-kira 120 kilometer dari bandar Lahad Datu, dulunya sebuah perkampungan kecil tepi laut dihuni kira-kira 20 keluarga, kebanyakannya mencari rezeki sebagai nelayan dan berkebun.

 

Bagaimanapun, selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu dan serangan udara serta darat oleh pasukan keselamatan terhadap pengikut Jamalul Kiram III yang mahu menuntut Sabah pada Mac 2013, keadaan perkampungan itu, berubah sama sekali.

Kini, Kampung Tanduo dijadikan kem tentera dikenali Pos Kampung Tanduo di bawah seliaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan baru-baru ini BH Online berpeluang ke kampung ini untuk meninjau keadaan kem terbabit.

Diiringi tiga pegawai polis diketuai Penolong Ketua Staf Operasi Pasukan Khas ESSCOM, Superintendan Hamzah Hashim, dari Tanjung Labian kami menaiki pacuan empat roda mengharungi laluan berbatu kasar dan berhabuk yang mengambil masa lebih setengah jam dengan jarak hampir tiga kilometer.

Ketika menyusur masuk, kami melihat pos kawalan tentera dengan sederet rumah didiami pasukan keselamatan. Tidak jauh dari kediaman pasukan keselamatan, kelihatan dua rumah yang dulunya milik penduduk Kampung Tanduo.

Namun kini, ia dibaik pulih dan dijadikan surau dan tempat penyimpanan barang. Selain itu, beberapa pokok seperti mangga, nangka dan kelapa sawit masih kekal di kawasan kampung berkenaan.

Berhampiran surau kecil, terdapat galeri kecil menyimpan pelbagai barang rampasan daripada pengganas Sulu dan kami juga berpeluang mendekati tiga kubur yang mana pengganas mengebumikan 16 anggotanya yang mati ketika bertempur dengan pasukan keselamatan.

Kubur pertama menempatkan sembilan mayat pengganas, kubur kedua pula menempatkan tiga lagi mayat dan kubur ketiga dengan empat mayat.

Kira-kira 200 meter dari perkuburan itu, penulis melihat bendera merah dan penulis dimaklumkan itu adalah lokasi dua anggota komando VAT69, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud terkorban ketika pertempuran dengan musuh pada jam 10 pagi, 1 Mac 2013.

Tidak jauh dari lokasi itu, kami melihat kesan letupan bom oleh pesawat tempur jenis F18 dan Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilancarkan ketika serangan Ops Daulat ke atas Kampung Tanduo pada 13 Mac 2013.

Penulis diberitahu kira-kira 500 meter dari situ terletaknya rumah Ahmad Malandi, 70-an, atau Mat Bom iaitu individu dipercayai tali barut kepada pengganas bersama anaknya dikenali sebagai Mohd Dali atau Ali.

Mat Bom dikenali pakar mengebom ikan di sekitar perairan FELDA Sahabat dan dia juga dikatakan antara individu terawal membuka Kampung Tanduo. Keadaan rumahnya dikatakan hanya tinggal tiang selepas dibom oleh pesawat tempur.

Penulis kemudian dibawa menyusuri laluan berbecak kira-kira 800 meter dari Pos Kampung Tanduo sebelum kelihatan surau di pesisir pantai. Ia menjadi lokasi pertama kumpulan pengganas berkumpul selepas mendarat menggunakan bot pancung dan bot laju secara berperingkat di Kampung Tanduo.

Berdekatan surau itu terdapat sebuah bot dengan pendayung dipercayai milik pengganas. Lokasi bot itu ditemui di kawasan muara sungai Kampung Tanduo sebelum dipindahkan ke Pos Kawalan Tentera di pantai Kampung Tanduo.

Ketika berada di tepi pantai Kampung Tanduo, apa yang terlintas di fikiran penulis ialah keindahan pantainya yang terletak di hujung gugusan FELDA Sahabat itu, namun kerana kerakusan kumpulan pengganas yang menceroboh masuk ke kampung berkenaan lima tahun lalu, segalanya kini sepi, tiada lagi penempatan penduduk.

 

Sumber: BH ONLINE