18
Ahd, Nov

Kajian Permudahkan Pentadbiran Harta Pusaka Di Sabah, Sarawak

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Kajian semula terhadap Seksyen 17 dan 18 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (Akta 532) perlu untuk memudahkan pentadbiran harta pusaka di Sabah dan Sarawak.

 

Penguatkuasaan dan pemakaian seksyen berkenaan membolehkan Amanah Raya Berhad menguruskan secara terus tanpa perlu melalui proses mahkamah.

Pengerusi Amanah Raya Berhad, Tan Sri Sabbaruddin Chik, berkata ia akan menambahbaik proses pentadbiran pusaka sedia ada di Sabah dan Sarawak kerana sebelum ini Akta 532 digunapakai kecuali Seksyen 17 dan 18.

Katanya, tanpa penggunaan kedua-dua seksyen itu, pentadbiran aset alih si mati bernilai RM600,000 ke bawah akan perlu melalui proses yang panjang sebelum dapat dilepaskan kepada waris berdaftar mengikut wasiat.

"Ia bukan saja menjimatkan masa tuntutan, malah lebih menjimatkan kos kepada waris kerana mereka tidak lagi perlu mendapatkan perintah mahkamah.

"Sekiranya perlu melalui proses mahkamah, ia mungkin mengambil masa sehingga bertahun-tahun sebelum harta pusaka dapat dibayar kepada waris," katanya kepada media selepas perasmian pejabat baharu Amanah Raya Berhad cawangan Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Perasmian disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Adenan Md Yusof.

Mengulas lanjut, Sabbaruddin berkata, Amanah Raya Berhad berharap ia mendapat perhatian kerajaan negeri bagi memastikan rakyat Sabah menerima manfaat dalam perkhidmatan disediakannya.

Mengenai pejabat baharu itu, beliau berkata, ia lebih kondusif dengan fasiliti lengkap sekali gus memberi keselesaan kepada pelanggan.

"Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina ini juga, Amanah Raya mengadakan kempen wasiat dengan harga istimewa iaitu RM350 berbanding harga asal RM600," katanya.

Sementara itu, Musa berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap cadangan dan pandangan yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

"Perkara itu (kajian semula Seksyen 17 dan 18) akan dipertimbangkan sewajarnya demi kepentingan rakyat Sabah.

"Suka saya mengajak lebih banyak pihak dan agensi supaya dapat bersama-sama menggembleng tenaga, menyumbang kepakaran dan membentuk jalinan usahasama bagi memupuk kesedaran supaya kesan positifnya dapat dirasai rakyat," katanya.

 

BH ONLINE