22
Kha, Feb

Berhati-Hati Memandu Di Empat 'Hotspot' Ranau

Sabah
Typography

RANAU - Pengguna jalan raya dinasihat supaya lebih berhati-hati ketika memandu di empat lokasi ‘hotspot’ atau kawasan kerap berlaku kemalangan di daerah ini.

 

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Polis (DSP) Mohd Farhan Lee Abdulah memberitahu, kawasan tersebut kerap berlaku kemalangan yang meragut nyawa.

“Empat lokasi berkenaan iaitu Kilometer (KM) 1-30 (Ranau-Telupid)Pekan Ranau-Kg. Nabutan, KM48-68 (Jalan Ranau-Telupid) Paginatan-simpang Kg. Miruru, KM1-22 (Jalan Ranau-Tampaluri) Pekan Ranau-Simpang Bundu Tuhan dan KM1-7 (Jalan Ranau-Tambunan) Pekan Ranau-simpang Kg. Gana-Gana.

“Pada 9 Februari, satu kemalangan maut berlaku melibatkan pemandu lori tangki minyak di Km 7.6 Jalan Ranau-Tampaluri dan pada 10 Februari, seorang lagi pemandu lori, membawa muatan buah kelapa sawit maut selepas kemalangan dekat Kg Nabutan, disusuli kemalangan yang turut meragut nyawa seorang penunggang motosikal di jambatan Sungai Liwagu pada 11 Febuari lalu,” katanya.

Menurut Farhan, semua kemalangan maut itu berlaku di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai lokasi ‘hospot’ dan meminta pengguna jalan raya memandu dengan berhati-hati terutama pada musim perayaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran kempen bersepadu Keselamatan Jalan Raya dan OP Selamat 12/2018 sempena perayaan Tahun Baru Cina di hadapan stesyen minyak Shell, di sini pada Isnin.

Majlis pelancaran disempurnakan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Dr.Ewon Ebin dan turut dihadiri, Penolong Pegawai,Daerah Ranau, Yuesri Ismail, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Huil Binua,wakil Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan ketua-ketua jabatan.

Sementara itu, Ewon dalam ucapannya, menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati di jalan raya serta merancang perjalanan agar dapat mengelak dari berlakunya kemalangan.

“Kemalangan boleh dielak apabila semua pengguna jalan raya lebih bertanggungjawab dan berhemah dengan mematuhi undang-undang serta mengikut saranan kempen keselamatan yang diadakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ewon mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi terlibat atas inisiatif memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat samaada pengguna jalan raya mahupun kepada mangsa perlakuan jenayah menerusi kempen Ops Selamat.

 

NEW SABAH TIMES