26
Rab, Sep

Kemudahan Aktiviti Pelancongan Di Sandakan Akan Dinaik Taraf

Sabah
Typography

SANDAKAN - Kemudahan untuk aktiviti pelancongan di daerah ini akan dinaik taraf, sejajar dengan usaha meningkatkan kedatangan pelancong ke sini.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk James Wong berkata antara kemudahan yang diberi tumpuan adalah jeti untuk pelancong pergi ke pulau-pulau yang dijadikan produk pelancongan seperti Pulau Selingan dan Pulau Libaran.

Beliau berkata di darat pula, tumpuan lebih kepada menyediakan kemudahan tandas yang bersih untuk pelancong.

"Ini merupakan antara tindakan yang akan dilakukan bagi menyambut hasrat baik kerajaan negeri yang mahu meningkatkan jumlah pelancong khususnya dari China berkunjung ke timur Sabah termasuk Sandakan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelancongan Daerah Sandakan di sini, hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat itu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Suhaimi Nasir dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Sandakan Johnny Lim.

James berkata untuk itu, pihaknya akan berkerjasama dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri, Sabah Green Development serta membantu MPS meningkatkan tahap kebersihan di perairan di daerah ini.

Katanya ini juga tindakan yang diambil hasil maklum balas diterima daripada pelancong Taiwan yang datang ke daerah ini menerusi penerbangan terus sewa khas dari negara itu pada 16 Feb lepas.

Beliau berkata mereka memberikan maklum balas mengenai banyak sampah yang terdapat di kawasan perairan khususnya berhampiran bandar Sandakan.

Katanya kumpulan 160 pelancong dari Taiwan itu suka dengan produk pelancongan berasaskan alam semulajadi yang ada di daerah ini serta kepelbagaian makanan disediakan di restoran, khususnya makanan laut.

Sumber : BERNAMA