19
Rab, Dis

Enakmen Warisan Negeri 2017 Mudahkan Pewartaan Tapak Warisan

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Enakmen Warisan Negeri 2017 yang baharu diluluskan pada tahun lepas penting bagi melancarkan lagi usaha untuk meneliti, mengkaji dan mewartakan tapak warisan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun berkata enakmen baharu itu adalah lebih baik berbanding Enakmen Warisan Budaya (Pemeliharaan) 1997 yang telah dimansuhkan, kerana peruntukannya lebih menyeluruh dan mudah difahami.

"Dengan adanya enakmen itu, usaha mendaftar warisan negeri akan dilakukan oleh pihak muzium. Bagaimanapun usaha tersebut tidak akan berhasil sekiranya tidak ada sokongan daripada agensi lain."

"Oleh itu, bantuan dan kerjasama semua pihak khususnya Pejabat-pejabat Daerah amat diperlukan untuk membolehkan enakmen ini dilaksanakan dengan jayanya," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program taklimat enakmen baharu itu di sini, hari ini.

Turut hadir dua Pembantu Menteri Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Pang Yuk Ming dan Datuk Kamarlin Ombi serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datu Rosmadi Datu Sulai.

Masidi berkata setiap jabatan berkaitan perlu memahami dan menghayati kandungan enakmen baharu itu agar dapat membantu pihak kementerian dan muzium mengenal pasti lokasi bernilai sejarah di daerah masing-masing.

"Jawatankuasa pelancongan daerah boleh mencadangkan mana-mana tapak bersejarah untuk diwartakan sebagai tapak warisan," katanya.

Beliau berkata hingga kini, kerajaan negeri telah mewartakan 24 tapak warisan negeri antaranya bangunan Pejabat Pos Lama Kota Kinabau, Padang Merdeka Kota Kinabalu, Tugu Kota Mat Salleh Tambunan dan Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak Semporna.

"Majlis Warisan Negeri juga sedang dalam proses untuk mewartakan tujuh lagi tapak bersejarah termasuk Stesen Keretapi Melalap, Maktab Sabah Kota Kinabalu, Tapak Maktab Perguruan Kent Tuaran dan Rumah Api Batu Tinagat, Tawau," katanya.

Masidi turut menyeru agar seluruh lapisan masyarakat di negeri ini bersama dalam menjaga dan menghargai khazanah warisan Sabah.

Sumber : BERNAMA