23
Sel, Okt

Sabah Dilanda Gempa Lagi

Sabah
Typography

KOTA KINABALU, 9 Mac 2018 – Satu gempa bumi berukuran 5.2 skala Richter melanda Ranau pada pukul 9.06 malam tadi.

Gegaran tersebut turut dirasai di beberapa daerah sekitar Pantai Barat Sabah di antara 5 hingga 10 saat berpunca dari dalam tanah pada kedalaman kira-kira 5 kilometer di kedudukan 6.04 latitud utara dan 116.6 longitud timur.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dalam tweetnya mengarahkan agar semua aktiviti pendakian Gunung Kinabalu digantung sementara berkuat kuasa serta-merta atas nasihat Pengarah Taman-Taman Sabah demi keselamatan semua pihak. Beliau juga telah mengarahkan agar semua pendaki dan pemandu pelancong segera kembali ke Ibu Pejabat Taman-Taman Sabah di Taman Kinabalu.

Operasi membawa turun kesemua 130 orang pendaki yang berada di Laban Rata pada waktu kejadian dilakukan oleh 18 orang malim gunung termasuk anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) yang memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu sejurus keadaan terkawal bagi membawa kesemua pendaki turun secepat mungkin.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu Junaydie Sihan berkata ini bagi memastikan keselamatan mereka susulan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter itu.

Pada 5 Jun 2015, sebanyak 18 pendaki maut apabila gempa bumi berukuran 6 skala Richter menggegar Gunung Kinabalu.

Gempa bumi berkenaan merupakan yang terburuk berlaku di negara ini kerana mengakibatkan kehilangan nyawa.