19
Rab, Dis

RELA Bawa Banyak Perubahan - Musa

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Keberadaan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di seluruh pelusuk negeri membawa banyak perubahan dalam konteks keselamatan dan ketenteraman.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata, komitmen yang ditunjukan setiap pegawai dan anggota RELA membuktikan bahawa mereka sentiasa komited dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

“RELA telah mendapat tempat di hati masyarakat sebagai salah sebuah pasukan keselamatan yang terdiri daripada sukarelawan yang ikhlas berjuang dan berbakti demi negara dan bangsa.

“Komitmen dan dedikasi ini dapat dilihat dalam Operasi Bersepadu, Operasi Banjir dan bencana alam serta kawalan setempat yang melibatkan agensi kerajaan ataupun swasta.

“RELA kini turut bertugas bersama-sama Polis dalam penugasan rondaan cegah jenayah dan yang terbaharu RELA terlibat melaksanaakan rondaan kawalan keselamatan ESSZONE bermula Januari lalu,” ujarnya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun RELA Ke-46 Peringkat Negeri di Dewan Censelor Universiti Malaysia Sabah, baru-baru ini .

“Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun RELA Ke-46 ini, Kerajaan Negeri ingin melahirkan rasa bangga, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih ata segala sumbangan, komitmen dan kerjasama yang telah diberikan oleh RELA selama ini.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, kita akan terus membantu pasukan keselamatan termasuk RELA agar dapat lekasanakan tugas dengan penuh dedikasi dan berkesan.

“Kita sedar tanpa pengorbanan pasukan keselamatan sudah tentu kita tidak dapat menikmati keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan seperti yang kita kecapi kini,” tambah beliau.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Tahni, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Hussain serta Pengarah RELA Sabah, Mohammad Pauzi Jhumat.

Pada majlis tersebut, Musa turut memakaikan pangkat Ahli Bersekutu RELA kepada Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Tahni.

Terdahulu Musa serta lebih 5,000 anggota RELA di Sabah mengikuti ucaptama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-46 RELA Peringkat Kebangsaan secara persidangan video di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), manakala Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengikuti siaran langsung itu di Stadium Perpaduan Petrajaya, Sarawak.

SAYANGSABAH

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.