21
Kha, Jun

Manifesto Pakatan Harapan Umpama Skim Ponzi Dan Ragui Keikhlasan Beri Hak Rakyat Sabah - Ambrose

Sabah
Typography

Kota Kinabalu – Janji langit dan bintang, namun akhirnya janji hanya tinggal janji dan rakyat akan rasa kecewa kerana janji tidak ditunaikan. Hakikat yang perlu difahami rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak agar lebih bijaksana dalam membuat pilihan.

Senator Datuk John Ambrose, Ketua Umno Bahagian Penampang telah melabelkan Manifesto Pakatan Harapan sebagai manifesto bersifat skim Ponzi.

“Seperti skim Ponzi, ia menjanjikan langit dan bulan tetapi pada akhirnya, hanya tinggal janji kosong dan rakyat yang percaya pada awalnya akan hilang segala-galanya.

“Manifesto Pakatan dilihat sama sahaja ia menarik untuk memancing undi rakyat dan akhirnya rakyat akan menderita jika mereka bentuk kerajaan.” katanya.

Ambrose turut menegaskan bahawa Pakatan kononnya berjanji untuk kembalikan hak-hak Sabah.

“Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia tidak pernah mengambil sebarang hak Sabah dan ini semua adalah semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.

“Saya dan rakyat Sabah meragui bahawa hak-hak kita akan dikembalikan sekiranya Pakatan menang kerana Dr Mahathir ketika menjadi PM banyak hak-hak Sabah terhakis dan dia adalah pemimpin raja butar belit.

“Najib sejak menjadi PM banyak perkara dilakukan demi Sabah dan Sarawak, malah kedua-dua negeri ini dilayan sama seperti negeri di Semenanjung.”katanya kepada media.

Beliau turut berkata bahawa Najib turut beri pengiktirafan kepada rakyat Sabah dengan membina bangunan Mahkamah Anak Negeri di Penampang.

“Mahkamah ini merupakan simbol penting kepada rakyat Sabah (bumiputera bukan Islam), dan kerajaan Persekutuan telah beri pengiktirafan kepada negeri dalam memastikan kehidupan kami setara dengan orang lain di negera ini.

“Dalam lima tahun Najib menjadi PM, Mahkamah Anak Negeri telah dibina setara dengan mahkamah sivil  dan mahkamah Syariah.” katanya

Ambrose turut melihat pengiktirafan ini akan sentiasa dalam ingatan rakyat Sabah khususnya generasi muda kerana setiap inisiatif tersebut mempunyai nilai tambah yang cukup tinggi dalam kehidupan penduduk di Sabah yang kaya dengan kepelbagaian adat resam dan agama.