17
Rab, Okt

Nelayan Indonesia Maut Terbelit Pukat

Sabah
Typography

KOTA KINABALU: Dua nelayan warga Indonesia maut selepas terbelit tali pukat ketika menarik pukat terbabit di sebuah kapal tunda di perairan Pulau Mengalum, dekat sini, semalam.

 

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Mansur, 31, dan rakannya Gading Abdullah, 31, dipercayai sudah tidak bernyawa sebaik dibawa ke jeti Sabah Fish Marketing (SAFMA) sebelum dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pemilik bot pukat tunda terbabit berkaitan dua pekerjanya meninggal dunia ketika menarik pukat tunda di atas bot, pada jam 5 petang kelmarin.

“Siasatan mendapati, ketika itu mangsa pertama tersangkut pada gulungan tali pukat.

“Mangsa kedua yang cuba membantu mangsa pertama turut tersangkut di gulungan tali dan termasuk ke dalam gulungan tali bot,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, rakan-rakan mangsa cuba membantu namun kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri dan dipercayai meninggal dunia.

“Kedua-dua mayat kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HQE 1 untuk tujuan bedah siasat.

“Tiada sebarang perbuatan atau unsur jenayah dalam kejadian itu,” katanya.

Sehubungan itu, Chandra berkata, orang ramai yang mengenali mangsa terbabit supaya membantu pihak polis menghubungi keluarga mangsa agar dan memaklumkan kepada pegawai penyiasat. – BH ONLINE