17
Rab, Okt

Kompleks Mahkamah Syariah Bakal Mercu Tanda Sabah - Musa

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Kompleks Mahkamah Syariah Sabah, yang dijangka siap kira-kira dua tahun lagi, bakal menjadi satu daripada mercu tanda di negeri ini.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata kompleks mahkamah empat tingkat itu sudah lama ditunggu umat Islam di negeri ini, khususnya bagi memberi keselesaan kakitangan mahkamah syariah negeri menjalankan tugas.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berusaha memberikan peruntukan (bagi membina kompleks) ini.

“Inilah cara kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa berusaha untuk membawakan banyak peruntukan untuk merancakkan pembangunan di seluruh Sabah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak pembinaan projek itu di Teluk Likas di sini, pada sabtu.

Musa juga berharap projek itu dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan dan mengikut peruntukan yang diberi. Ketua Pasukan Projek Jabatan Kerja Raya Sabah Liaw Vui Phing berkata pihaknya yakin projek itu dapat disiapkan dalam tempoh 30 bulan seperti yang dirancang.

“Peruntukan diberi kerajaan pusat dan saya rasa tidak ada masalah untuk menyiapkan projek ini dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata projek itu dibina sejak 9 Nov tahun lepas dengan kos RM67.86 juta di tapak seluas kira-kira dua hektar (4.999 ekar) dan dijangka siap pada Mei 2020.

Kompleks itu akan dilengkapi dengan satu Dewan Bicara Rayuan, dua Dewan Bicara Tinggi dan tiga Dewan Bicara Rendah serta pejabat yang boleh menempatkan sehingga 83 kakitangan.

Konsep reka bentuk bangunan itu menggabungkan seni Islamik dan budaya Sabah seperti dua kubah dengan bentuk berinspirasikan ‘sirung’ atau penutup kepala tradisional Sabah yang diperbuat daripada rotan dan buluh.

BERNAMA