22
Ahd, Jul

1,801 Guru Di Keningau Terima Tab Mudahkan Tugas

Sabah
Typography

KENINGAU - Seramai 1,801 guru dari kawasan Liawan dan Bingkor dekat sini menerima tablet dilengkapi perisian Tutor Guru dan e-paper Utusan Malaysia sebagai kemudahan melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-masing.

Pengagihan fasa kelima itu, yang melibatkan 36 sekolah di seluruh kawasan Liawan dan Bingkor, disampaikan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Sairin Karno

Sairin berkata pengagihan tablet itu adalah pelaksanaan peruntukan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 5 Mei 2016 bagi menghargai jasa warga guru di seluruh negara.

"Ini adalah hadiah kerajaan kepada para guru. Aplikasi ini boleh dimanfaat sebagai bahan bantu mengajar murid di kelas dalam tempoh 5 tahun akses penggunaannya.

"Guru-guru perlu memanfaatkan sebaiknya kemudahan ini ke arah melahirkan pelajar cemerlang di sekolah masing-masing," katanya kepada Bernama selepas mengagihkan tablet berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sairin yang juga Ketua UMNO Bahagian Keningau berkata kerajaan Barisan Nasional sentiasa komited untuk cemerlangkan lagi pembelajaran anak-anak dengan mengutamakan agenda pembangunan pendidikan.

Walaupun sentiasa berdepan pelbagai cabaran termasuk diperlekeh pembangkang namun, kerajaan tidak gagal dalam menyediakan kemudahan pembelajaran untuk anak-anak di negara ini, katanya.

BERNAMA