26
Rab, Sep

Jumat Kekal Bersama Kepimpinan BN

Sabah
Typography

Kota Kinabalu - Penyandang kerusi Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris beri sokongan penuh kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) walaupun tidak lagi dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Jumat yang juga bekas Ketua Bahagian UMNO Sepanggar turut berkata bahawa hatinya cukup kuat untuk terus berjuang di dalam Barisan Nasional.

“Saya cukup taat setia kepada parti dan buktinya sehingga kini walaupun bukan lagi menjadi calon BN, namun saya akan terus berjuang demi BN kerana inilah perjuangan saya (naluri hati) untuk kawasan Parlimen Sepanggar.

“Usahlah ada lagi yang mempertikaikan ketaat setiaan saya kepada BN dan saya menyeru rakyat yang menyokong saya untuk turut membantu BN dan sekali gus memastikan kemenangan calon BN-UMNO (Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan) demi kesinambungan pembangunan di kawasan ini.” katanya semasa majlis doa selamat dan Kupi-Kupi Sempena PRU14 semalam.

Pendirian Jumat cukup jelas dan disaksikan lebih 3,000 penyokongnya yang telah menjawab segala tomahan dan desas desus bahawa beliau akan bertanding atas tiket pembangkang di Parlimen Sepanggar.

Majlis ini turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak merangkap Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah, calon BN Parlimen (PAR), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan  Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Jumat turut berkata bahawa perjuangan beliau adalah bukan perjuangan peribadi tetapi untuk rakyat Sepanggar.

“Kita perlu bersama-sama BN untuk terus membina masa depan yang lebih cerah.” katanya lagi.