20
Jum, Jul

Etnik Sungai Tetap Bersama BN

Sabah
Typography

Sandakan – Etnik Sungai merupakan etnik dominan yang dapat menentukan siapa bakal memimpin mereka khususnya di Pantai Timur Sabah selain etnik Bajau Timur.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini banyak menjurus kepada usaha pihak pembangkang cuba memanipulasikan tahap sokongan etnik Sungai untuk perolehi kuasa demi kepentingan diri dan bukannya menjaga kebajikan kaum tersebut.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata, “Saya berharap rakyat tidak terpedaya dan tertipu oleh pembangkang termasuklah parti Warisan Sabah kerana kita semua jelas dan kenal siapa orang-orang tersebut.

“Dia (pembangkang) mahu ubah. Terpulang kepada dia tetapi apa yang paling penting rakyat jangan terikut-ikut dengan dia. Teruslah memilih parti yang sudah berjaya membuktikan prestasi dan kejayaan untuk terus membawa suara rakyat dan memajukan negara ini.” katanya ketika berucap semasa hadir di Majlis Solidariti Orang-Orang Sungai di Sandakan semalam.

Turut hadir di majlis ini, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris dan Presiden Persatuan Bangsa Orang Sungai Sabah (Sabas), Datuk Juhari Janan.

Musa turut berkata, untuk membentuk kerajaan bukan mudah kerana perlu kerja kuat demi kemakmuran rakyat dan inilah yang telah dilakukan oleh BN dengan baik berbanding pembangkang yang hanya tahu menuduh dan menyebarkan fitnah setiap kali musim pilihan raya tiba.

“Rakyat perlu percaya dan yakin terhadap perancangan kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang kerana jika semuanya berjaya dilaksanakan, tiada satu pun masyarakat terlepas dari menikmati manfaat tersebut.

“Manifesto BN teratur dan cukup rapi, apa yang penting bagaimana kerajaan berusaha untuk memajukan rakyat dan negeri ini. Bagaimana untuk menyediakan peluang pendidikan agar anak kita belajar dan sekali gus usaha wujudkan pekerjaan untuk generasi muda.” katanya.

Musa turut menambah, kerajaan akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini agar dapat memenuhi impian setiap masyarakat yang kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri