20
Jum, Jul

Suasana Di Sabah Positif - Najib

Sabah
Typography

KOTA MARUDU - Datuk Seri Najib Razak berkata, 'mood' dan suasana di Sabah dua hari menjelang pengundian Rabu ini, amat memberangsangkan dan positif untuk Barisan Nasional (BN), sekali gus memberi gambaran mendapat mandat baharu daripada rakyat.

Perdana Menteri berkata, petunjuk itu dilihat berdasarkan semangat tinggi jentera BN dan kerjasama erat dalam kalangan semua parti komponen sehingga membolehkan gabungan itu mencapai kejayaan yang cemerlang.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, tiada sebab BN tidak boleh menang di Sabah selepas melawat empat daerah di negeri itu sejak malam tadi, dengan syarat semua parti komponen menunjukkan solidariti.

"Semua parti komponen perlu bersama tidak kira siapa jadi calon kerana itu adalah calon BN, ada tempat kita letak calon UMNO, ada tempat calonnya dari Parti Bersatu Sabah (PBS), ada juga calon dari parti (komponen) lain.

"Apa yang penting kita nak BN menang sebab dalam pilihan raya kita nak tubuh kerajaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Bersama Rakyat Kota Marudu di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, serta calon BN Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Pagi tadi, Perdana Menteri merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Keningau serta hadir Majlis Bersama Rakyat di Beaufort sebelum mengakhiri lawatan di Kota Marudu.

Perdana Menteri berkata, tumpuan diberi kepada Sabah kerana mempunyai hubungan dan komitmen untuk memajukan negeri itu.

"(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) tak melawat Sabah sebab dia tak dapat sokongan banyak di negeri ini dan rekod dia selama 22 tahun (jadi Perdana Menteri) orang Sabah tak lupa.

"Itu sebab dia bergantung dengan pihak lain di Sabah ini, dia sendiri tak datang, (tetapi) saya sebagai Perdana Menteri mengambil pendekatan berbeza.

"Saya anggap Sabah rakan sejati, orang Sabah perlu dibela supaya jurang pembangunan dengan Semenanjung dapat dirapatkan," katanya.

Ditanya kempen pembangkang khususnya Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini, Najib berkata soalnya bukan berkaitan sentimen dibawa parti terbabit, tetapi siapa yang boleh menentukan masa depan rakyat dengan lebih baik.

"Masa kita nak sesuatu jawatan boleh janji macam-macam tetapi kebanyakan janji itu palsu atau tak mungkin dapat ditunaikan sebab mereka (pembangkang) tidak ada kuasa mutlak.

"Kuasa mutlak akan hanya berpunca dari parti besar yang berkuasa di peringkat nasional," katanya.

Mengenai Tan Sri Rafidah Aziz yang dipecat, Najib berkata, bekas Ketua Wanita UMNO itu bersama beberapa lagi bekas pemimpin parti yang kini giat berkempen di pentas pembangkang sudah lama 'pencen' dan meninggalkan UMNO.

"Mereka ini semua dah lama pencen dan meninggalkan parti. Jadi kita tumpukan hari ini dan akan datang," katanya.

BH ONLINE