20
Jum, Jul

617 Lagi Ketua Keluarga Terima Geran Komunal

Sabah
Typography

NABAWAN - Seramai 617 ketua keluarga dari 16 buah kampung di daerah ini mendapat tanah melalui penganugerahan Geran Komunal yang membabitkan keluasan 9,700 ekar.

Geran Komunal ini terdiri dari dua kelompok iaitu Tagol 1 melibatkan enam buah kampung membabitkan 140 ketua keluarga dengan keluasan 700 ekar dan Tatalaan 2 melibatkan sepuluh buah kampung (477 ketua keluarga) dengan keluasan 9,000 ekar.

Penyampaian Geran Komunal tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman sempena Roadshow Yayasan Sabah Bersama Rakyat Peringkat Zon Pedalaman Utara, Karnival Kerjaya, Keusahawanan dan Mobile CTC di dataran Nabawan di sini kelmarin.

Terdahulu dalam ucapan perasmian program yang dihadiri oleh 5,000 orang itu Musa berkata, penganugerahan geran komunal telah memberi manfaat yang besar kepada penduduk yang terlibat di seluruh negeri ini.

Katanya, setakat ini sebanyak 93 geran komunal melibatkan 263 kampung dan 13,224 benefisiari dengan keluasan 147,547. 23 ekar.

Jelas Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, selain memberi hak milik tanah kepada penduduk yang terlibat yang boleh diwarisi oleh anak cucu cicit penganugerahan geran komunal juga menyelamatkan tanah yang dimiliki jatuh ke tangan orang lain melalui penjualan tanah.

Ini katanya, kerana geran komunal tidak boleh dijual.

Selain penganugerahan geran komunal Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah Dan Ukur juga memperkenalkan geran PANTAS selain geran N.T dan F. R.

Pada majlis sama Musa turut menyampaikan 225 geran PANTASkepada tujuh buah kampung, 161 geran N.T/F.R kepada 30 buah kampung dan subsidi PANTAS kepada 40 penerima yang bernilai RM80,000 di mana setiap penerima mendapat subsidi RM2,000.

Subsidi ini bertujuan membiayai urusan pecah geran jika sekiranya pemilik geran berbuat demikian untuk tujuan pembahagian tanah kepada ahli keluarga.

Mengenai dengan program Roadshow Yayasan Sabah Musa berkata, ia memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk menikmati perkhidmatan secara percuma jabatan dan agensi kerajaan yang turut sama memberikan perkhidmatan sepanjang program berjalan.

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin, Timbalan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Hajah Rosmawati Hj. Lasuki, Pegawai Daerah Nabawan Fredian Gan, calon BN Pensiangan Arthur Joseph Kurup, calon BN Nabawan Datuk Bobbey Suan, calon BN Sook Datuk Ellron Alfred Angin, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Sementara itu, Ketua Menteri juga turut menyampikan sumbangan dari Kementerian Kewangan Malaysia berjumlah RM400,000 kepada Gereja Calvary Charismatic Centre Tenom.

NEW SABAH TIMES