26
Rab, Sep

Malindo Air Buat Penerbangan Terus Labuan-KL Mulai 1 Julai

Sabah
Typography

LABUAN - Syarikat Penerbangan Malindo Air bersetuju telah untuk membuat penerbangan terus dari Kuala Lumpur – Labuan – Kuala Lumpur bermula pada 1 Julai 2018 sebanyak 7 (tujuh) kali seminggu.

Demikian diberitahu oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan pada sidang media bersama pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Inisiatif Mensejahteraan Rakyat Labuan di Wisma Perbadanan Labuan, pada Jumaat.

Katanya persetujuan itu selepas mendapat kelulusan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia hasil daripada usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan dan Perbadanan Labuan.

“Ia direalisasikan hasil usaha pihak Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pengangkutan dan Perbadanan Labuan (PL) dan ia juga mendapat kelulusan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dalam usaha mengalakkan kedatangan pengunjung dari dalam mahupun luar negara, ke Labuan” katanya.

Jelasnya, sekiranya sambutan itu mengalakkan dan jumlah penumpang semakin meningkat, kemungkinan besar Malindo Air akan menambah lebih banyak penerbangan Kuala Lumpur-Labuan.

Syarikat Penerbangan Air Asia juga turut membuat penerbangan tambahan sebanyak empat (4) kali seminggu yang menjadikan keseluruhan penerbangan Air Asia di Labuan adalah sebanyak 14 kali seminggu bermula pada bulan Jun 2018, kata Adnan lagi.

Adnan juga mengalu-alukan syarikat- syarikat penerbangan yang berminat untuk memperluaskan lokasi-lokasi penerbangan dari Labuan ke destinasi lain samaada di Sabah, Sarawak mahupun Kalimantan berdasarkan permintaan yang tinggi.

Beliau turut menjelaskan a ntara inisiatif lain yang sedang dilakukan oleh Perbadanan Labuan melalui Kementrian Wilayah ialah membangunkan industri perusahaan ikan bilis melalui penyediaan infrastruktur bagang.

Katanya, sehingga kini terdapat 15 permohonan dan 7 daripadanya telahpun memulakan struktur bagang dan setiap pengusaha bagang akan diberikan insentif berjumlah RM15,000 oleh pihak Kerajaan sebagai modal permulaan.

“Hospital Labuan juga telah mempunyai seramai 117 orang Doktor ditempatkan di seluruh Labuan dan isu kekurangan Doktor Pakar juga tidak menjadi isu utama di Labuan lagi memandangkan Labuan telah berjaya mendapatkan seramai 15 orang doktor pakar,” tambah Adnan lagi.

Pada sidang media itu, Adnan turut mengumumkan pencapaian inisiatif yang telah dilaksanakan di Labuan serta beberapa inisiatif lain untuk mensejahterakan rakyat Labuan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PL, Datuk Azhar Ahmad dan pegawai kanan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan serta Ketua-Ketua Jabatan yang terdapat di pulau ini.

NEW SABAH TIMES