10
Isn, Dis

'Sabah Perlukan Kapal Besar, Bukan Kapal Layar'

Sabah
Typography

BEAUFORT - 'Kapal layar' tidak mampu membawa rakyat Sabah membelah samudera luas kerana ia bersaiz kecil serta tidak stabil, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, rakyat Sabah perlu memilih kapal lebih besar dan moden yang mampu merentasi lautan luas dan bergelora agar tidak hanyut atau terumbang-ambing sepanjang pelayaran.

 

Menggunakan analogi kapal layar merujuk kepada logo Parti Warisan Sabah (WARISAN) manakala kapal besar dan moden sebagai Barisan Nasional (BN), beliau memberi kiasan itu ketika berucap di hadapan lebih 10,000 rakyat pada Majlis Bersama Rakyat Beaufort di sini, semalam.

 

"Kita nak belayar lautan samudera, kita perlukan kapal moden dan lebih besar. Kapal layar ini kecil, main tepi pantai, kita (BN) kapal besar, parti besar yang kuat dari Perlis sampai ke Sabah," katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; calon BN Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun; calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih dan calon BN DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, rakyat Sabah juga perlu menolak lambang mata dengan merujuk kepada pakatan pembangkang diketuai DAP yang menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Hati saya adalah untuk terus membangunkan Sabah. Pemimpin dulu tak buat Lebuhraya Pan Borneo, timbul (dicadangkan) zaman dia jadi Perdana Menteri tapi tak diluluskan. Zaman dia banyak lebuh raya kena tol, Pan Borneo tiada tol.

"Sekarang kita sediakan RM12 bilion untuk Sabah (Lebuhraya Pan Borneo), tambah lagi akan datang kerana kawasan seperti Keningau juga perlu lebuh raya, kita akan tambah," katanya.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan faktor itu, rakyat Sabah boleh membuat penilaian untuk memilih parti yang akan mentadbir kerajaan Persekutuan dan negeri pada hari pengundian, Rabu ini.

"Kita kena pilih orang (parti) yang boleh beri manfaat, pilih pembangkang habiskan beras saja sebab parti mereka ditubuhkan atas cita-cita peribadi, itu bukan asas kita, BN untuk rakyat.

"(Rakyat) jangan dengar banyak cerita palsu sekarang yang disebar luas, kononnya kita negara bankrap kerana hutang terlalu besar, itu tak benar. (Hutang negara) cuma 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Zaman Perdana Menteri selama 22 tahun dulu pernah cecah 103 peratus (hutang negara) daripada KDNK, kenapa (sekarang) putar belit, kenapa bohong. Sebab itu percayalah kita bukan negara gagal, kita negara yang diurus dengan baik oleh kerajaan BN," katanya.

Perdana Menteri turut memuji semangat penyokong BN di Beaufort yang membentuk lautan biru dan melahirkan keyakinan BN mampu menang 3-0 di kawasan terbabit iaitu Parlimen Beaufort serta DUN Klias dan Kuala Penyu.

Beliau juga mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk pelbagai projek pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air untuk kawasan Parlimen berkenaan.

BH ONLINE

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.