20
Jum, Jul

PRU14: Polis Terima 1,069 Laporan, 17 Tangkapan

Sabah
Typography

SANDAKAN – Polis menerima 1,069 laporan membabitkan 17 tangkapan di seluruh negara sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sejak 28 April hingga Sabtu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata daripada jumlah itu, 131 laporan diterima di negeri ini dengan satu tangkapan di Bongawan membabitkan penyamaran sebagai penjawat awam.

Katanya tiada kejadian serius berlaku dan keadaan keselamatan sepanjang kempen PRU14 ini adalah terkawal.

“Kita akan pantau secara berterusan sehinggalah proses membuang undi selesai pada Rabu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan Program Tinjauan Mesra di Flat MPS Karamunting di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.

Mohamad Fuzi berkata terdapat 150 individu yang berpotensi mencetuskan kekecohan pada PRU14 dipantau di Sabah, daripada 1,131 individu yang dipantau di seluruh negara.

“Ada antara individu tersebut kita ketemu untuk berbincang agar tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan khususnya berkaitan PRU14 ini. Ada selebihnya individu itu kita masih pantau,” katanya.

Beliau berkata polis akan terus siap siaga sepenuhnya menghadapi apa juga situasi yang akan mengancam keselamatan terutamanya bagi tempoh dua hari kempen PRU14.

Dalam pada itu, beliau menyeru mereka yang terlibat dalam politik dan penyokong untuk sama-sama memastikan perjalanan PRU14 berlangsung dalam suasana aman dan terkawal.

Justeru, katanya, mereka diminta tidak emosi dan melakukan tindakan yang boleh mengganggu-gugat pelaksanaan PRU14 ini dan juga keselamatan setempat.

BERNAMA