20
Rab, Sep

SPR Harapkan Hari Pengundian Esok Berjalan Lancar

Sarawak
Typography

LUNDU - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah membuat semakan peti undi dan peralatan supaya mencukupi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N03 Tanjong Datu esok hari.

Hashim juga memberitahu bahawa kehadirannya di sini bagi mengenal pasti sebarang kekurangan serta memastikan kelancaran tugasan petugas SPR.

Ketika berucap beliau berterima kasih kepada semua petugas SPR yang dilantik dan diamanahkan untuk melaksanakan tugasan pada hari mengundi esok.

"Kita juga berharap faktor keselamatan yang sering diutamakan pada masa pilihan raya yang dipertanggungjawabkan kepada pihak polis. 

"Namun saya yakin dengan Sarawak yang telah mengekalkan rekod pengundian yang baik dan harmoni kerana sepanjang tempoh berkempen tiadanya elemen provokasi dan tiadanya poster agresif pada PRK DUN Tanjung Datu," katanya ketika berucap dalam Majlis Semakan Isi Peti Undi Bagi Pilihan Raya Kecil N03 Tanjong Datu di Dewan Masyarakat Lundu, Lundu. 

Hashim juga menekankan bahawa pihak polis memainkan peranan yang penting bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan aman.

"Saya berharap semua mematuhi segala arahan oleh pihak polis dan saya percaya di Sarawak proses pengundian  dan kempen masih dalam aman dan Sarawak juga masih mengekalkan rekod pengundian yang cukup baik dan harmoni setakat ini.

"Saya juga berharap PKR kali ini dapat mengatasi PKR Balingian, di mana poster kempen telah diturunkan sehari selepas PRK Balingian," katanya lagi.

Menurut Hashim, semua peti undi akan disimpan dalam Balai Polis dan juga memaklumkan bahawa pasukan KTM Teluk Melano akan menggunakan helikopter.

Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan media massa memainkan peranan yang penting sebelum, semasa dan selepas pengundian dan mengharapkan sokongan daripada semua pihak bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan Ahli Panel Suruhanjaya Pilihan Raya serta Pegawai Tertinggi SPR  menyaksikan proses semakan dan penyerahan kepada setiap KTM pasukan petugas.

Katanya juga, semua peti undi yang telah disemak akan disimpan di Balai Polis, dan hanya akan  dibawa ke Pusat Mengundi esok pada jam 6 pagi, kecuali peti undi PDM Teluk Melano yang akan dibawa ke pusat mengundi hari ini.

"Kita menyeru kesemua petugas-petugas SPR supaya turun awal untuk membuka pusat mengundi, di mana ramalan cuaca mendedahkan kemungkinan berlakunya hari hujan pada hari mengundi," katanya lagi.

Turut hadir bersama Pengarah Suruhjaya Pilihan Raya Sarawak Datu Haji Takun Sunggah serta Ahli-ahli Panel SPR Malaysia.

PRK N03 Tanjong Datu menyaksikan pertandingan tiga penjuru diantara calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh Datuk Amar Hajah Jamilah Anu manakala calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru diwakili oleh Rapelson Richard Hamit dan bagi calon Parti Reformasi Negeri (STAR) pula Johny Bob Aput.