30
Sel, Mei

Guru Interim Di Sarawak Dilanjutkan

Sarawak
Typography

KUALA LUMPUR - Tempoh perkhidmatan 210 guru interim di Sarawak yang tamat bulan ini dilanjutkan serta diberi peluang kedua bagi menghadiri sesi temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Kementerian Pendidikan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, berkata sebelum ini perkhidmatan guru terbabit yang terdiri daripada graduan pendidikan 'open market' pelbagai universiti awam dan swasta, tidak dilanjutkan selepas bulan ini disebabkan mereka tidak lulus temu duga atau tidak hadir temu duga itu.

"Langkah itu menepati prosedur yang ditetapkan kerana SPP adalah badan yang mengawal kualiti Pegawai Perkhidmatan Pendidikan," kata kementerian itu bagi menjawab soalan Datuk Wilson Ugak Kumbong (BN-Hulu Rajang) yang bertanya sama ada kementerian akan menamatkan kontrak guru-guru interim di negeri itu.

Kementerian itu menjelaskan ia mengambil berat pengisian kekosongan guru-guru dengan memastikan hanya guru yang cemerlang dan berkualiti diserap masuk sebagai guru tetap.

Dalam pada itu, kementerian tersebut berkata kadar transisi murid dari sekolah rendah ke tingkatan 1 bagi tempoh 2013 hingga 2016 adalah antara 98 dan 99 peratus.

Peratus murid tamat persekolahan peringkat menengah pula antara 85 dan 90 peratus bagi tempoh sama.

- BERNAMA -