23
Ahd, Apr

Jambatan Igan Mulakan Kerja-Kerja Pembinaan Tahun Ini 

Sarawak
Typography

MUKAH - Jambatan Igan sepanjang 1.8 kilometer yang kini dalam proses tender bakal menjadikan Pekan Matu akan pesat membangun dan kawasan sekitarnya seperti Daro dan Semop akan menerima tempias pembangunan dengan peluang ekonomi dan impak pembangunan setempat.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg mengumumkan kelulusan sebanyak RM305 juta bagi pembinaan Jambatan Igan dan kini telah dalam proses tender.

"Jambatan Igan sepanjang 1.8km ini akan siap dalam tempoh 42 bulan iaitu pada Disember 2020," katanya ketika hadir di Majlis Perasmian Mula Kerja Pembinaan Masjid Daerah Matu, Cadangan Pembangunan Komersil Pelita dan Cadangan Projek Perumahan Rakyat di Dewan Suarah Matu, petang semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Talip Zulpilip, Menteri Muda Perumahan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya, ADUN Daro Shafiee Ahmad, ADUN Semop Abdullah Saidol dan dif-dif kehormat lain.

Pada majlis yang sama, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta kepada pembinaan Masjid Daerah Matu yang mana sebelum ini turut menerima peruntukan sebanyak RM5 juta.

"Dengan peruntukan tambahan ini dan kos keseluruhan sebanyak RM10 juta, masjid ini akan menjadi lambang kekukuhan dan keutuhan jemaah di kawasan Matu dan sekitarnya," ujarnya.

Di samping itu, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi turut mengumumkan pembinaan Rumah Spektra Permata di bawah peruntukan dana Kerajaan Negeri Sarawak.

"Kita (kerajaan negeri Sarawak) akan membina 20 buah rumah di Matu dan juga di Igan dan dinamakan Spektra Permata," ujarnya.

Abang Johari turut memberitahu bahawa beliau berjanji akan terus mengemudi kepimpinan negeri dengan memikul tanggungjawab yang diberikan dan meminta kerjasama dan sokongan daripada semua lapisan masyarakat.

 

loading...
BLOG COMMENTS POWERED BY DISQUS