11
Isn, Dis

Cadangan Menggantikan Saluran Paip Bernilai RM2.99 Juta Di Maludam Tunggu Kelulusan - Stephen Rundi

Sarawak
Typography

KUCHING - Cadangan bagi menggantikan saluran paip sedia ada yang telah uzur sepanjang 9.8 kilometer di Maludam dengan kos bernilai RM2.99 juta akan dikemukakan untuk kelulusan.

Menteri Elektrik Luar Bandar dan Bekalan Air Dato Sri Dr Stephen Rundi anak Utom berkata cadangan ini diangkat susulan daripada ucapan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak Kelapan Belas di sini, Isnin lepas.

"Ini berikutan sistem saluran paip sedia ada adalah jenis AC (asbestos cement) dan DI (ductile iron) yang telah uzur. 

"Tambahan pula, pertumbuhan penduduk secara mendadak di kawasan Maludam telah menambahkan lagi beban kepada sistem bekalan air sedia ada," katanya semasa menggulung perbahasan bagi Kementerian Elektrik Luar bandar dan Bekalan Air pagi tadi.

Simoi sebelum ini telah mengemukakan permasalahan yang telah lama dihadapi penduduk di Maludam terutamanya Pekan Maludam, Kampung Maludam, Kampung Sengau Pedada dan Kampung Sungai Mulon seringkali mengalami masalah bekalan air dan tekanan air rendah. 

"Jika saiz paip sedia ada ditukar kepada paip bersaiz 225mm diameter HDPE PN10, Maludam tidak perlu menunggu projek di Beladin atau menunggu penyambungan saluran paip dari Beladin ke Kampung Sepinang kelak.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Jurutera Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Betong berkenaan cadangan menukar saiz paip dan mereka telah pun membuat kajian ke atas cadangan untuk menaik taraf saluran paip di Maludam.

"Menerusi cadangan itu, kos yang diperlukan hanya RM2.9 juta," katanya.

Terdahulu, Rundi turut memberitahu pelaksanaan projek penyambungan saluran paip air dari Beladin ke Kampung Sepinang telah diluluskan di bawah Rolling Plan I dengan anggaran kos sebanyak RM6 juta. 

"Dengan siapnya kedua-dua projek ini nanti keadaan bekalan air dan tekanan air rendah di kawasan Maludam akan bertambah baik sekali gus membolehkan penduduk-penduduk di kawasan tersebut dapat menikmati bekalan air dan tekanan air yang stabil," ujarnya lagi.