24
Sab, Jun

Empat Lelaki Ditahan Atas Kesalahan Samun Di Pusat Membeli Belah

Sarawak
Typography

KUCHING - Empat lelaki berumur di antara 18 hingga 25 tahun berjaya ditahan di beberapa lokasi atas kesalahan kes samun yang berlaku di sebuah pusat membeli belah di sini, semalam.

Tangkapan dibuat hasil maklumat yang diperolehi dan sekitar jam 7.15 pagi, pihak polis bertindak membuat serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Samarindah, Kota Samarahan dan berjaya menangkap suspek lelaki pertama yang berusia 25 tahun. 

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, suspek ditangkap hasil siasatan selepas suspek menyamun seorang perempuan Melayu yang berumur 21 tahun di tangga tingkat bawah tempat kerja mangsa.

"Pada jam 8.15 malam, 16 Mei lalu, pengadu yang juga mangsa sedang menunggu bapanya di tangga tingkat bawah pusat membeli belah Viva City untuk balik dari bekerja, telah didatangi suspek yang keluar dari kereta Perodua Viva menuju ke arah mangsa dan terus merampas telefon bimbit dari tangan mangsa lalu melarikan diri.

"Akibat kejadian berkenaan, mangsa mengalami kerugian sekitar RM390," katanya.

Katanya, bertindak atas maklumat yang diperolehi, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Samarindah, Kota Samarahan dan berjaya menahan suspek pertama dan turut merampas sebuah kereta Perodua Viva.

"Susulan penangkapan suspek pertama dan siasatan lanjut terhadap suspek, pasukan polis yang sama telah membuat serbuan ke atas 3 buah lagi premis di sekitar Kampung Merdang Lumut dan kawasan perumahan Taman Samarindah, Kota Samarahan.

"Hasil serbuan ke atas ketiga-tiga kediaman berkenaan polis berjaya menahan lagi 3 orang lelaki Melayu berumur dalam lingkungan 18 hingga 23 tahun," ujarnya lagi.

Hasil siasatan awal terhadap keempat-empat suspek, mereka mengaku terlibat dalam kes samun di pusat membeli belah berkenaan dan juga mengaku terlibat dalam satu kes mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata tajam bersabit dengan kes yang dilaporkan di Kota Samarahan pada jam 3.15 pagi semalam

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Dalam kejadian yang berlaku di Taman  Samarindah, mangsa seorang lelaki berumur 20-an telah ditikam di bahagian belakang dengan menggunakan pisau oleh suspek.

"Mangsa kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di zon merah Hospital Umum Sarawak. 

Semasa tangkapan kesemua suspek masih dalam keadaan khayal," tambahnya lagi.

Kesemua suspek akan direman untuk  membantu siasatan atas Kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Rompak).