12
Sel, Dis

SK Sungai Arang Pernah Diselenggara Sebelum Ini - Dr Annuar

Sarawak
Typography

KUCHING - Kedaifan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Arang di Baram  yang telah disiarkan akhbar tempatan The Borneo Post baru-baru ini pernah diselenggara kemudahannya sebelum ini.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata pada tahun 2011, Jabatan Pendidikan Negeri telah membina rumah guru dan menaiktaraf lain-lain kemudahan di sekolah itu.

"Kerajaan telah membina tiga rumah guru jenis kabin dengan kos RM732,000 dan sebuah bilik darjah serta lain-lain kemudahan dengan kos RM704,000.

"Manakala, tahun 2014, sebanyak RM30,000 lagi telah dibelanjakan untuk penyelenggaraan rumah guru di mana daripada lapan rumah guru lima dalam keadaan baik dan hanya tiga yang dalam keadaan daif," katanya katanya pada sidang media di Wisma Sultan Tengah di sini Jumaat lepas.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datu Sudarsono Osman, Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali dan Ketua Sektor Khidmat Pengurusan, Pentadbiran dan Pembangunan Jabatan Pendidikan Negeri Wan Fadillah.

Malah, sebelum ini Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baram pernah mencadangkan supaya sekolah ini dipindah ke tapak baharu.

Sementara itu, Dr Annuar berkata, sekolah itu akan diberikan keutamaan untuk dibuna semula kaedah baharu yang diumumkan oleh Ketua Menteri.

"Masalah sekolah daif di Sarawak bukanlah perkara baharu di Sarawak.

"Dalam menangani perkara ini, kita di Sarawak sudah ada perancangan yang lebih baik iaitu dengan membina semula sekolah daif itu menggunakan dana kerajaan negeri sendiri.

 

“Kita tidak mahu sekadar menaik taraf tetapi kita juga mahu lakukan yang lebih baik untuk semua sekolah di negeri ini termasuklah SK Sungai Arang,” jelasnya lagi.