12
Sel, Dis

Isu Sekolah Daif, Kurang Murid Akan Dibincangkan Pada 11 dan 12 Julai Ini

Sarawak
Typography

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak akan mengadakan bengkel yang akan membincangkan isu-isu sekolah daif dan kurang murid di negeri ini pada 11 dan 12 Julai nanti.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata bengkel itu nanti akan menyenaraikan beberapa sekolah daif dan kurang murid di Sarawak ketika ini.

"Kita akan mengadakan bengkel untuk membincangkan mengenai isu-isu sekolah daif dan kurang murid di negeri ini.

“Pada bengkel itu nanti, kita akan mengenal pasti 100 sekolah yang akan diberikan keutamaan untuk dibina semula dan digabungkan menggunakan dana kerajaan negeri sendiri seperti yang telah dipersetujui oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“Kita akan melihat keperluan dan kemungkinan menggabungkan sekolah lain dan menjadi sebuah sekolah yang lengkap dengan segalanya,” katanya.

Sebelum ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Arang telah menjadi perhatian selepas isu kedaifan sekolah itu telah diberikan perhatian muka depan dalam akhbar tempatan berbahasa Inggeris The Borneo Post.

Dr Annuar memberitahu, kerajaan negeri amat memberikan perhatian akan isu kedaifan sekolah yang ada di Sarawak termasuk SK Sungai Arang.

SK Sungai Arang, Baram telah dibina pada tahun 1962 dan hanya dapat diakses menggunakan laluan sungai dari Pekan Marudi menggunakan bot selama satu jam perjalanan.

Sekolah ini mempunyai seramai 53 murid dan diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid (kurang daripada 150 murid), 14 guru dan lapan kakitangan sokongan.

Dari segi prestasi, pencapaian sekolah ini agak memuaskan dengan mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) antara 2.8 hingga 3.29 bagi tahun 2012 hingga 2015.

Bekalan elektrik sekolah ini masih menggunakan penjana elektrik untuk membekalkan tenaga dan bekalan airnya masih bergantung kepada tadahan air.

Turut hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datu Sudarsono Osman, Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali dan Ketua Sektor Khidmat Pengurusan, Pentadbiran dan Pembangunan Jabatan Pendidikan Negeri Wan Fadillah.