27
Sel, Jun

Kerajaan Negeri Sarawak Cadang Bina LCCT Bersama Air Asia

Sarawak
Typography

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak kini sedang berunding dengan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia bagi membincangkan pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang pertama seumpamanya di Sarawak.

Projek ini didedahkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg sambil memberitahu pembinaan LCCT ini terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini.

"Ketika ini kita (kerajaan negeri Sarawak) sedang dalam proses rundingan bersama Air Asia, dengan tapaknya tidak jauh dari LTAK, tetapi belum disahkan lagi. Difahamkan, LCCT ini berhampiran LTAK kerana mempunyai kelengkapan dan kemudahan sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau hadir semasa menghadiri Program Ihsan Ramadan Satok di Dewan Dato Hajah Juma’ani Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat di sini, semalam.

Ditanya mengenai perkembangan mengenai rundingan itu, Abang Johari menjelaskan masih dalam rundingan peringkat awal.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan pembinaan LCCT oleh syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia di Sarawak.

Dengan adanya LCCT ini, Kuching akan dijadikan pintu masuk dan hab penerbangan serantau Air Asia di Malaysia.

Ketika ini, LTAK sudah mencapai kapasiti maksimum penerimaan penumpang dengan mencatat sebanyak 5 juta penumpang setahun.

 

Sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu melihat kehadiran pelancong bertambah dan menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan terkemuka, Sarawak memerlukan kemudahan lapangan terbang yang mampu memenuhi kehendak itu.