27
Sel, Jun

Polis Sarawak Minta Bantuan Polis Di Semenanjung Siasat Blogger PapaGomo

Sarawak
Typography

KUCHING - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontijen Sarawak akan meminta bantuan daripada rakan mereka di Semenanjung bagi menyiasat blogger PapaGomo berhubung kenyataan berbaur hasutan dalam satu video pendek yang tular di media sosial.

PapaGomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris disiasat selepas polis menerima lebih 30 laporan di seluruh negara berhubung tindakkannya yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan sentimen kenegerian sebagai cara mempertahankan salah seorang menteri Persekutuan berhubung isu cukai pelancongan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, bantuan itu bagi membolehkan polis mengambil rakaman perbualan subjek (PapaGomo) didapatkan berkaitan kenyataan hasutannya seperti mana yang dimuat naik di dalam media sosial.

Sehingga semalam, polis telah menerima 37 laporan polis terhadap Papa Gomo di seluruh Malaysia.

“Ketika ini siasatan masih diteruskan jadi saya tidak dapat mendedahkan lagi hasil siasatan kerana siasatan sedang dijalankan melibatkan banyak laporan polis dan elemen media dan ini mengambil masa untuk kita selesaikan siasatan.

“Sehingga kini masih belum ada tindakan, cuma siasatan itu kami memohon bantuan daripada rakan di Semenanjung untuk membantu kami dari sudut rakaman percakapan subjek

 

(PapaGomo) berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Ops Selamat 11 sempena Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bas Kuching Sentral di sini semalam.