20
Rab, Sep

Segera Dapatkan Rawatan Jika Digigit Anjing Dan Kucing

Sarawak
Typography

BETONG - Segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan sekiranya telah digigit anjing atau kucing walaupun tinggal di kawasan luar jangkitan Rabies.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ini merupakan nasihat daripada doktor berikutan wabak rabies yang berlaku di bahagian Serian yang telah meragut tiga nyawa setakat ini. 

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sarawak, saya sekarang sibuk dengan penyakit rabies yang dibawa anjing dan kucing di bahagian Serian yang telah meragut tiga nyawa dan satu lagi berada dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak. 

"Saya nasihati masyarakat yang berada di Betong dan kawasan-kawasan lain di Sarawak, jika ada anak atau cucu kita digigit anjing atau kucing, pastikan luka gigitan itu dibersihkan segera dan terus membawa mangsa mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Melayu Betong di Dewan Panglima Rentap di sini malam kelmarin. 

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata doktor memaklumkan jika mangsa yang terkena penyakit rabies diberikan rawatan awal ia pasti dapat dipulihkan.

“Kalau anda ternampak anjing atau kucing di sini yang tidak berapa sihat atau liar,  segera laporkan kepada Majlis Daerah Betong agar mereka dapat mengambil tindakan termasuk menangkap haiwan berkenaan," katanya.

 

Menurut Uggah, setakat ini lebih 20 anjing dan kucing di kawasan yang diisytiharkan kawasan rabies dijangkiti virus berkenaan dan kesemua tempat itu berdekatan dengan sempadan negara jiran.