12
Sel, Dis

Polis Padawan Berjaya Selesaikan 46.3 Peratus Kes Jenayah Dalam Tempoh 7 Bulan Tahun Ini

Sarawak
Typography

KUCHING - Polis Daerah Padawan telah berjaya menyelesaikan sebanyak 46.3 peratus kes jenayah komersil dalam tempoh 7 bulan dalam tahun ini bermula Januari hingga Julai tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbun Lisa berkata, hasil daripada siasatan dan tindakan yang dijalankan, sebanyak 108 kes telah direkodkan dan daripada jumlah itu 50 kes atau 46.3 peratus telah berjaya diselesaikan.

Jumlah ini meningkat 61 kes berbanding 47 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Dengan kekuatan minimum dan anggota serta pegawai yang terhad, kita masih dapat melakukan pertuduhan yang membabitkan 50 kes daripada 108 kes pada tahun ini.

“Jumlah ini mewakili 46.3 peratus iaitu melebihi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 30 peratus yang telah ditetapkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Padawan antara DSp Maria Rasid dan Inspektor Douglas Suai Dimbap di IPD Padawan, dekat sini, pagi semalam.

Merbin turut memberitahu antara kes komersial yang berjaya ditumpaskan baru-baru ini ialah mengenai kes penipuan oleh pasangan suami isteri yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Penjara ke atas seorang lelaki tempatan yang berusia 40-an.

Dalam kes itu, pasangan tersebut telah meminta pengadu untuk membayar wang guaman berjumlah RM1,050 bagi membiayai perbicaraan kes anaknya yang sedang di penjara.

Katanya, suspek dikatakan tahu latar belakang pasangan tersebut di mana anaknya kini ditahan di penjara dan telah berjumpa kepada keluarga mangsa di Batu 8, Jalan Matang, Kuching.

Bagaimanapun, disebabkan terpedaya mangsa akhirnya mengikut kehendak suspek dengan menyerahkan wang RM1,050 kepada mereka untuk membebaskan anaknya.

Selepas memperoleh wang itu, suspek telah menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan oleh mangsa sehingga laporan polis dibuat pada 3 Ogos lepas.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Komersial IPD Padawan telah menggerakkan pasukan dan berjaya menangkap suspek di Batu 3, Ogos lalu.

“Kedua-dua suspek telah dituduh di mahkamah semalam dan didapati kedua-dua pasangan ini bukan secara sah sebaliknya cuma tinggal bersama dan mempunyai seorang anak berusia setahun lebih,” katanya.

Merbin menambah, jenayah siber masih lagi membimbangkan di kawasan Padawan dengan membabitkan kardah Facebook atau “Love Scam” yang menyebabkan golongan wanita menjadi mangsa dan mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

 

Begitu juga dengan kes pinjaman wang yang tidak dibayar kerana menghadapi masalah kewangan sehingga menyebabkan kerugian akibat ditipu.