17
Sel, Okt

Projek Agropolitan Diyakini Mampu Mengeluarkan Peserta Program Dari Garis Kemiskinan

Sarawak
Typography

SIMUNJAN - Projek agropolitan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan pada masa ini diyakini mampu mengeluarkan peserta yang terlibat dari garis kemiskinan.

Pelaksanaan projek berkenaan termasuk Ladang Sejahtera Batang Sadong di Simunjan juga dilihat dapat mewujudkan ekonomi yang mampan serta terancang kepada mereka. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menghapuskan kemiskinan luar bandar melalui peningkatan pendapatan, kualiti hidup serta usaha yang berterusan untuk mempercepatkan lagi pembangunan di luar bandar.

Selain itu, ianya juga dapat meningkatkan liputan kemudahan lain seperti jalan raya dan juga kemudahan elektrik sekaligus ianya akan mempertingkatkan kemudahan sosial semasa penduduk.

“Di bawah projek Agropolitan inilah penduduk kampung dapat menikmati kemudahan jalan raya dan bekalan elektrik.

“Antara tujuan kerajaan mengadakan projek ini adalah untuk mengurangkan taraf kemiskinan penduduk kampung di kawasan ini yang mana fokus kerajaan adalah membangunkan tanah terbiar dengan penanaman kelapa sawit bagi mengwujudkan ekonomi mampan penduduk kampung,” katanya dalam ucapan ketika hadir pada Majlis Penyerahan Wang Saguhati Ladang Sejahtera Agropolitan Batang Sadong di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong memaklumkan yang Ladang Sejahtera Agropolitan Batang Sadong yang diuruskan oleh pihak FELCRA Berhad mendapat peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Ianya juga telah diselaraskan oleh kerajaan negeri sejak tahun 2006 yang mana pihak Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) telah dilantik sebagai pemegang amanah kepada peserta dan menjadi wakil kerajaan negeri untuk memajukan tanah bagi diluluskan Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Komitmen yang diberikan PELITA sebagai badan pemantau prestasi projek dan Unit Perancang Negeri sudah tentu bakal merubah kehidupan penduduk di kawasan ini terutama kepada 138 orang peserta Ladang Sejahtera.

"Ini kerana usaha ini secara tidak langsung dapat menggalakkan penduduk terlibat dalam keusahawanan dan memperkasakan komuniti,” ujarnya.

 

Projek tanaman kelapa sawit di Batang Sadong melibatkan keluasan 1,921 hektar dan membabitkan keluasan dimajukan adalah sebanyak 314 hektar. - KLXpress/Sahiza Yaman-