13
Rab, Dis

Sektor Swasta Diminta Memainkan Peranan Masing-Masing Dalam Pelancongan Sarawak

Sarawak
Typography

KUCHING - Sektor swasta diseru agar memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini syarikat tambang rendah AirAsia dilihat telah memainkan peranan terbaik dan melakukan banyak perkara untuk negeri ini seperti membawa lebih banyak laluan penerbangan ke negeri ini.

"Sekarang ini sudah tiba masanya untuk sektor swasta memainkan peranan mereka masing-masing seperti yang dilakukan oleh AirAsia.

"Dengan adanya laluan baharu terus dari Kuching ke Langkawi dan sebaliknya, ia adalah peluang yang baik bagi kita untuk menarik mereka dari Langkawi kerana AirAsia adalah satu-satunya syarikat penerbangan yang menghubungkan Sarawak ke Langkawi sekarang," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Laluan Baharu Kuching-Langkawi di bilik media Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini pagi semalam.

Katanya, sekarang ini Sarawak tidak boleh hanya mengharapkan hanya syarikat penerbangan AirAsia untuk memperkenalkan laluan baru dan kemudian membantu kita dalam promosi dan pemasaran di negeri ini.

"Oleh itu, saya berharap sektor swasta khususnya para pengendali pelancongan serta Lembaga Pelancongan Sarawak di negeri ini akan mengambil inisiatif untuk mempromosikan dan memasarkan Sarawak ke mata dunia.

"Kami memerlukan pemandu pelancong yang lebih berkelayakan dan terlatih, kompleks perniagaan serta lebih banyak hospital swasta akan ditubuhkan untuk meningkatkan sektor pelancongan perubatan Sarawak," ujarnya lagi. 

Dalam perkembangan lain, mengenai rundingan kerajaan negeri untuk membina Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Kuching bersama dengan AirAsia beliau berharap ia akan berlaku tidak lama lagi.

"Masa ini kami (kerajaan) masih berbincang dan berunding dengan AirAsia mengenai projek LCCT berkenaan.

 

"Dan, sekiranya perkara berkenaan telah dimuktamadkan barulah saya akan  mendedahkan lebih banyak lagi," katanya.