20
Jum, Okt

AirAsia Lancar Penerbangan Sulung Dari Kuching Ke Langkawi

Sarawak
Typography

KUCHING – AirAsia sebuah syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia telah melancarkan penerbangan sulungnya dari Kuching ke Langkawi, di sini semalam.

Laluan baharu berkenaan akan beroperasi dengan kekerapan 4 kali seminggu pada hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Menurut Ketua Komersial AirAsia Berhad Spencer Lee berkata, pihak mereka sentiasa komited untuk terus mengembangkan perniagaan di negeri ini.

“Kami terus komited untuk mengembangkan hab ini kerana Sarawak mempunyai banyak tarikan selain destinasi pelancongan.

"Sementara itu, hubungan laluan ke negeri ini juga adalah penting bagi kami kerana ia juga merupakan salah satu destinasi pelaburan utama di Malaysia, yang mana Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) telah menarik ramai pelabur untuk menubuhkan kilang pengeluaran ICT, pertanian, perindustrian dan banyak lagi," katanya pada sidang media selepas hadir ke majlis Perasmian Penerbangan Pertama dari Kuching ke Langkawi pagi semalam.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam pada, Spencer turut memaklumkan yang pada tahun lalu, AirAsia telah menerbangkan kira-kira 3.2 juta tetamu dari dan ke hab bandaraya Kuching.

Beliau percaya dengan pengenalan dua laluan baharu di negeri ini iaitu Pontianak pada awal Jun lepas dan ke Langkawi hari ini akan terus mengukuhkan komitmen syarikat berkenaan di Sarawak. 

"Kami juga ingin berterima kasih kepada kerajaan negeri Sarawak atas sokongan dan bimbingan mereka yang berterusan kepada AirAsia dan kami berharap untuk mengukuhkan lagi hab ini dengan menghubungkannya ke lebih banyak destinasi pada masa akan datang," ujarnya lagi.

Bagi penerbangan sulung hari ini dari Kuching ke Langkawi adalah Penerbangan AK 5093 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 12.55 tengah hari tadi di mana ianya diiringi oleh Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak Datuk Haji Abdul Wahab bin Aziz dan Spencer Lee sendiri.

Manakala, ketibaan penerbangan tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi akan disambut oleh Pengurus Bahagian Promosi Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Nor Aznan Sulaiman.

Sementara itu, bersempena meraikan laluan baharu berkenaan, AirAsia turut menawarkan tambang termasuk semua dari RM100* sehala yang boleh ditempah secara atas talian di airasia.com bermula hari ini hingga 13 Ogos 2017 akan datang.

Tawaran berkenaan adalah untuk tempoh perjalanan di antara 9 Ogos 2017 dan 8 Februari 2018. 

Tambang promosi tersebut juga boleh didapati menerusi aplikasi mudah alih AirAsia untuk peranti iPhone dan Android, serta laman mudah alih airasia di mobile.airasia.com.

AirAsia kini terbang ke 11 destinasi dari Kuching dengan lebih 220 penerbangan mingguan sehala.

 

Selain Langkawi, destinasi-destinasi lain bagi laluan AirAsia adalah Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Singapura dan Pontianak.