17
Kha, Ogs

Kerajaan Sentiasa Prihatin Terhadap Pembangunan Luar Bandar

Sarawak
Typography

KUCHING – Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kawasan-kawasan kampung dan luar bandar tidak tercicir dari arus pembangunan yang semakin pesat.

Menteri Kemudahan Utiliti Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan asas yang menjadi keperluan utama kepada penduduk kampung dan luar bandar di Sarawak.

“Kerajaan sudah mempunyai perancangan untuk terus meningkatkan kemudahan asas yang menjadi keperluan utama penduduk di kawasan luar bandar termasuk meningkatkan kadar kelajuan interet bagi membolehkan penduduk di luar bandar berurus niaga secara 'online' dengan rakan niaga dan pelanggan mereka di bandar dan di luar negara sekaligus meningkat ekonomi penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri Sarawak di sini, semalam.

Rundi juga berkata bagi kemudahan bekalan air dan elektrik, setakat ini 87 peratus penduduk di negeri ini sudah menikmati kemudahan itu dan menyasarkan tahun 2025 dijangka 100 peratus negeri ini akan disambung dengan bekalan elektrik.

“Kerajaan sentiasa memastikan taraf hidup dan kedudukan ekonomi rakyat di luar bandar sentiasa meningkat sama seperti di bandar.

“Oleh yang demikian, penduduk di kampung dan rumah panjang di luar bandar perlu bekerjasama antara satu dan lain untuk memajukan diri, kampung dan rumah panjang masing-masing bagi megubah persepsi terhadap mereka. 

"Saya juga berharap kampung dan rumah panjang yang terpilih akan menjadi contoh kepada kampung dan rumah panjang lain dalam usaha pengupayaan kepimpinan sosial dan ekonomi kampung,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau juga berharap pelaksanaan projek-projek pembangunan luar bandar di negeri Sarawak perlu dipercepatkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah supaya proses pembangunan kawasan luar bandar dapat dilakukan dengan segera.

Mengenai Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri Sarawak, penyampaian hadiah dan penghargaan disampaikan kepada kampung-kampung yang menang dalam dua kategori iaitu kategori Kampung Tradisional dan Rumah Panjang.