13
Rab, Dis

KKLW Cadang Wujud ‘Desa Digital’

Sarawak
Typography

KUCHING – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bercadang mewujudkan Desa Digital bagi menyokong dan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di luar bandar melalui penyediaan jaringan internet jalur lebar yang luas dan stabil.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Dato’ Sri Ismail Sabri, ia bertujuan untuk merangsang pembangunan sosio ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Pewujudan Desa Digital ini akan menyokong dan memperkukuhkan aktiviti keusahawanan dan perniagaan di luar bandar untuk melonjakkan ekonomi luar bandar,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Alexander Nanta Linggi bersempena Majlis Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri Sarawak 2017 semalam. 

Menurutnya juga, KKLW mengambil inisiatif menyediakan platform perkongsian maklumat asas kampung untuk dikongsi oleh semua melalui aplikasi ‘iDesa’ yang boleh diakses dan dimuat turun menggunakan telefon mudah alih.

“Aplikasi ini bertujuan untuk membantu penyediaan perancangan pembangunan kampung yang lebih komprehensif yang mana sistem data profil kampung ini menyenaraikan 16,000 kampung yang menyediakan maklumat berkaitan prasarana, produk dan tempat-tempat menarik di kampung berkenaan.

“Saya menyeru dan memohon kerjasama JKKK dan JKKKP untuk membuat pengemaskinian berterusan bagi memastikan data dan maklumat ini sentiasa dikemaskini,” katanya lagi.

Selain itu, Program Transformasi Luar Bandar yang telah diperkenalkan dengan aspirasi ‘Membandarkan Luar Bandar’ juga memberi penekanan kepada enam fokus utama iaitu prasarana luar bandar, pembangunan belia luar bandar, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian bertujuan memacu kemajuan luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

“Objektif utama kita adalah menjadikan kawasan luar bandar yang kondusif dengan pelbagai aksesbiliti dan kemudahan seperti di bandar dengan penyediaan infrastruktur asas serta menjana pendapatan lebih tinggi dan peningkatan ilmu serta kemahiran, ”jelasnya lagi.

Beliau turut menyatakan KKLW akan terus berusaha menyediakan pelbagai inisiatif untuk memastikan penduduk luar bandar kekal tinggal di desa manakala golongan muda yang berhijrah akan tertarik untuk kembali dan tinggal di desa.

Mengenai Majlis Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri Sarawak 2017 yang merupakan kerjasama KKLW, Kerajaan Negeri, Kementerian Luar Bandar Sarawak dan KEMAS yang melibatkan dua kategori pertandingan iaitu kategori Kampung Tradisional dan Rumah Panjang.

Bagi kategori Kampung Tradisional tempat pertama dimenangi oleh Kampung Rajang, Mukah diikuti tempat kedua dari Kampung Cina Sungai Tulai, Sarikei dan tempat ketiga dimenangi oleh Kampung Niup Samarahan.

Kategori Rumah Panjang pula dibahagi kepada tiga zon yang mana Zon 1 tempat pertama disandang oleh Rumah Along Ak Kang, Sri Aman dan tempat kedua dimenangi oleh Kampung Belimbing Besi Samarahan.

Bagi Zon 2 Kategori Rumah Panjang, tempat pertama dimenangi oleh Rumah Bengau, Ng Sut Kapit di ikuti Rumah Nyuka, Sarikei dan Rumah Lembang, Betong.

Manakala, Zon 3 pula tempat pertama dimenangi oleh Rumah Satu, Kuala Mendalam Limbang, tempat kedua pula disandang oleh Rumah Majang, Bintulu dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Rumah Micheal Selengkor Miri.

Hadir bersama Menteri Kemudahan Utiliti Sarawak Datuk Dr. Stephen Rundi Ak Ikom, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Dato’ Amiruddin Ariffin dan Datu Chaiti Bolhassan, Pegawai Khas Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Negeri Sarawak.