17
Kha, Ogs

213 Buah Lot Tanah Disediakan Bagi Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Penasu, Daro

Sarawak
Typography

DARO - Sebanyak 213 buah lot tanah telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Kampung Penasu, Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro Safiee Haji Ahmad berkata, peruntukan berkenaan dilaksanakan berikutan kejadian hakisan tanah yang berlaku di kampung  berkenaan baru-baru ini

“Keprihatinan kerajaan terhadap penduduk luar bandar amat tinggi di mana kerajaan akan sentiasa melihat keperluan dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat luar bandar. 

“Dengan adanya pemberian lot tanah ini, saya berharap para penerima dapat membina kediaman mereka dengan selesa ditapak berkenaan," katanya dalam ucapan ketika hadir di Majlis Penyampaian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada 37 penerima pada fasa kali ini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Daro, Abang Mohamad Abang Turkey, Pegawai Tadbir Tanah dan Ukur, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah, Mohd Izzidin Basri, Pegawai Pendidik Daerah Daro, Mortadza Sat, Jurutera Daerah, Awg Dasuki Awg Dol dan Penghulu Badang Sebli.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan kepada semua penerima TOL yang ada untuk membina rumah dalam tempoh yang telah ditetapkan.

"TOL berkenaan tidak boleh dipindah milik atau dijual atau secara serahan atas apa-apa pun kecuali kepada ahli keluarga yang terdekat dan mendapatkan kelulusan daripada pihak yang berwajib. 

"Setakat ini sebanyak 72 buah lot diperuntukan daripada 213 buah lot yang telah disediakan," ujarnya.

Dalam majlis berkenaan juga, beliau turut menyaksikan majlis serah tapak projek Dewan Kampung Penasu kepada pihak kontraktor yang telah dilantik oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro.

Dewan berkenaan adalah sebahagian daripada peruntukan Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) yang bernilai RM350,000 bertujuan untuk membangunkan kawasan luar bandar. -KLXpress/Mohd Faizal Jamiludin-