25
Isn, Sep

JBPM Sarawak Bersiap Sedia Menghadapi Banjir 

Sarawak
Typography

KUCHING - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak kini telah bersiap sedia sepenuhnya menghadapi banjir yang diramalkan berlaku ketika ini semasa musim hujan.

Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata, pasukan JBPM di seluruh Sarawak sudah berada dalam keadaan bersedia.

"Kami bersedia di mana semua logistik air, darat serta udara dalam keadaan sedia," katanya ketika dihubungi akhbar Utusan Borneo di sini semalam.

Nor Hisham menjelaskan seramai 1,181 anggota Bomba juga bersedia untuk ditugaskan pada bila-bila masa sahaja termasuk seramai 2,100 ahli Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Tidak cukup dengan itu, seramai 394 anggota juga kini ditugaskan selama 24 jam dan 590 anggota bertugas selama 24 jam.

JBPM Sarawak juga bersiap sedia dari segi kelengkapan dan segala kemudahan dengan menyediakan 46 bot aluminium, 6 bot fiber, tiga Kevlar dan 1 ARIB turut disediakan untuk gerakan menyelamat mangsa-mangsa banjir.

Dalam usaha memantau kawasan banjir, JBPM Sarawak juga menubuhkan 7 zon untuk memantau kawasan-kawasan terjejas banjir di setiap bahagian yang meliputi Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.