24
Jum, Nov

Siapnya Jambatan Katibas Hasil Keprihatinan Kerajaan BN

Sarawak
Typography

SONG - Siapnya Jambatan Katibas dengan kos sebanyak RM71.5 juta mencerminkan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus menyediakan kemudahan awam kepada rakyat.

Jambatan yang panjangnya sejauh 330 meter itu siap pada Ahad lepas dan bukan sahaja menjadi mercu tanda bagi daerah Song tetapi juga membolehkan penduduk Song keluar menggunakan jalan raya dengan mudah dan selesa ke Sibu.

Dengan siapnya Jambatan Katibas ini, ia telah memberi impak kepada penduduk di kawasan Song dan Kapit untuk berhubung ke Sibu tanpa perlu lagi menggunakan jalan air.

Tuai Rumah Gelok Riti dari Engkabau, Song berkata pembinaan jambatan ini telah memberi impak yang besar kepada penduduk rumah panjangnya.

"Jarak rumah panjang saya dengan jambatan ini hanya dua kilometer. Selepas ini nescaya akan banyak lagi pembangunan yang akan dibawa kerajaan di sini," katanya selepas ditemui Utusan Borneo.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kerja-kerja penyiapan Jambatan Katibas di sini, semalam.

Turut sama hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alaexander Nanta Linggi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Datuk Ambrose Blikau Enturan, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, ADUN Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat, ADUN Machan Allan Siden Gramong, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Sementara itu, Tuai Rumah Ayang Sumbang dari Sungai Ayat, Song turut gembira dengan siapnya projek Jambatan Katibas yang membawa makna besar kepada penduduk Song.

Bagaimanapun, beliau berharap agar selepas ini kerajaan dapat melihat keperluan baik pulih jalan raya yang lebih sempurna bagi kemudahan dan keselesaan penduduk.

Ayang berharap kerajaan dapat menyiapkan projek Jalan Kapit-Song-Kanowit dengan segera bagi manfaat semua penduduk berhampiran. 

Dalam pada itu, Nanta yang mengiringi Timbalan Ketua Menteri dalam lawatan itu turut menegaskan selain menyediakan projek insfrastruktur seperti jambatan, kementeriannya juga turut membangunkan ekonomi rakyat.

"Ini termasuklah projek melalui RISDA dan FELCRA serta projek melalui pembangunan modal insan melalui KEMAS, MARA, GIATMARA dan sebagainya.

"Ini adalah untuk penduduk luar bandar agar mereka tidak ketinggalan," tambahnya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.