24
Jum, Nov

Rumah Rakit Tersangkut Akibat Arus Deras Di Sungai Limbang

Sarawak
Typography

LIMBANG - Akibat arus sungai yang deras, seorang lelaki yang merupakan warganegara asing gagal mengawal rumah rakit miliknya ketika sedang memulakan pelayaran berhadapan dengan Limbungan Kapal Sin Matu, Kampung Limpaong, Jalan Buangsiol, Sungai Limbang menuju ke negara Brunei Darussalam semalam.

Bagaimanapun, pelancong berkenaan Jonathan Wayne berusia 71 tahun berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan rumah rakit tersebut bernasib baik selepas rumah rakit tersangkut pada besi pengikat tongkang di tepi sungai ketika hanyut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Jonathan telah memulakan pelayaran pada jam 8 pagi dan pada jam 8.03 pagi pihak Bomba telah menerima panggilan mengenai kejadian rumah bot berkenaan tersangkut.

Sejurus menerima laporan 5 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, pasukan Bomba menggunakan bot berusaha untuk menarik rumah rakit ke tempat yang lebih selamat namun gagal kerana rumah rakit terlalu  berat.

"Walau bagaimanapun, Bomba telah memohon bantuan bot orang awam yang lebih besar dan sebuah Bot Polis Marin bersama anggota seramai 3 orang  membantu menunda dan seterusnya rumah rakit tersebut ditambat di kampung Pebahanan," katanya.

Katanya, Jonathan telah memulakan pelayaran dari bandar Limbang menggunakan sebuah bot lama yang diubahsuai menjadi rumah rakit untuk ke destinasi berikutnya iaitu negara Brunei Darussalam dan seterusnya ke Kuching. 

Rumah rakit berkenaan yang digerakkan menggunakan enjin sangkut, Yamaha 8 kuasa kuda memulakan pelayaran dari hulu bandar Limbang dan mula menyusuri Sungai Limbang semasa air sungai sedang surut menuju muara sungai.

"Arus sungai yang sangat deras menyebabkan rumah rakit tersebut gagal dikawal dan terus dihanyutkan arus hingga ke tebing sungai namun beliau bernasib baik apabila rumah rakit tersangkut pada besi kapal lama di tepi Sungai Limbang. 

"Tujuan pelancong tersebut menyusuri Sungai Limbang menggunakan bot lama yang diubahsuai menjadi rumah rakit ialah untuk merakamkan pemandangan  sungai Limbang dan hanya beliau seorang diri belayar menggunakan rumah rakit tersebut," ujarnya.

Pemilik rumah rakit berkenaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dan belia akan bermalam semalam di Limbang sebelum meneruskan perjalanan pada keesokan harinya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.