25
Sab, Nov

Bantuan “Touch Point” Ringankan Beban Nelayan Dan Penternak Akuakultur

Sarawak
Typography

BALINGIAN – Bantuan “Touch Point” yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dilihat sedikit sebanyak telah dapat meringankan beban golongan sasar di samping dapat meningkatkan pengeluaran pertanian para penerimanya.

Bantuan berkenaan juga dapat meningkatkan sumber ekonomi masyarakat setempat terutama sekali masyarakat di luar bandar seperti di daerah Balingian.

Menurut Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Che Ghazali Arbi berkata, kebanyakan penduduk di kawasan Balingian menjadikan bidang perikanan sebagai punca pencarian isi rumah dan kerajaan akan senantiasa membantu dalam meringankan beban mereka.

Justeru, tindakan Jabatan Perikanan Laut Sarawak agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia telah memberi peruntukan berupa benih ikan keli dan tilapia kepada kawasan berkenaan adalah salah satu usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Jabatan Perikanan Laut Sarawak pada tahun ini telah diperuntukan sejumlah RM566,550 berupa bantuan kepada golongan sasar bagi meningkatkan pengeluaran ikan bagi sektor akuakultur dan nelayan pantai.

“Di bawah projek 'touch point' sektor akuakultur ini, bentuk bantuan adalah benih ikan keli dan tilapia, makanan rumusan ikan serta tangki ternakan ikan keli,” katanya dalam ucapan ketika hadir mewakili ADUN Balingian Abdul Yakub Haji Arbi merasmikan Program Ramah Mesra Bersama Nelayan di kawasan Balingian, Mukah di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan sebanyak RM32,400 telah diperuntukan untuk memberi bantuan dan sokongan kepada 81 orang nelayan dari kawasan Balingian di mana setiap seorang dari mereka akan menerima jaket keselamatan dan peti insulasi ikan 100 liter. 

Turut hadir Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak Belayong anak Nyuak.

Sementara itu, Belayong dalam ucapan ringkasnya berkata beliau memaklumkan selain dari bantuan terus kepada nelayan, Jabatan Perikanan Laut Sarawak juga turut memperuntukan projek pembangunan berupa 32 buah tukun penghalang pukat tunda di sekitar perairan Mukah yang telah dilabuhkan pada tahun 2016 yang menelan kos hampir RM500 ribu. 

Simbolik perasmian program berkenaan ialah pelepasan benih ikan ke perairan umum yang dilakukan di salah sebuah jeti di Kuala Balingian.

Pada majlis berkenaan seramai 92 orang peserta di bawah Projek Touch Point 2017 dari Balingian telah menerima bantuan 'touch point' masing-masing dan bagi keseluruhan bahagian Mukah, Jabatan Perikanan Laut Sarawak memberi bantuan yang sama kepada 181 orang keseluruhannya dengan jumlah peruntukan RM72,400.

Selain dari penerima bagi nelayan, terdapat juga penerima bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) sebanyak 3 orang dengan nilai bantuan RM22,932, serta bantuan 'touch point' seramai 8 orang dengan jumlah peruntukan RM12,000 yang mana bentuk bantuan yang disalurkan adalah berupa benih ikan tilapia, "paddle wheel" dan batu pemberat sangkar. -KLXPress/HafizzulbinAbdulHalim-

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.