20
Rab, Sep

200 Pelajar Sekitar Daerah Sarikei Terima Baucer Bantuan Pakaian Seragam Sekolah

Sarawak
Typography

SARIKEI - Seramai 200 orang pelajar di Daerah Sarikei telah menerima baucer bantuan pakaian seragam sekolah yang diberikan kerajaan kepada pelajar-pelajar yang layak.

Majlis penyampaian telah diadakan di SMK Sarikei Baru di sini pagi tadi dan telah disempurnakan oleh Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Sarikei, Ahmat Adai yang mewakili Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Taliff Salleh.

Kesemua para penerima berkenaan terdiri daripada  sebuah sekolah menengah dan 13 buah sekolah rendah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei.

Sementara itu, dalam ucapan ringkas Ahmat Adai berkata, beliau mahu para penerima  memanfaatkan sepenuhnya bantuan berkenaan .

Di samping itu, ianya juga membuktikan keperihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban para ibu bapa.

"Pemberian sumbangan ini membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib golongan yang kurang berkemampuan.

“Ianya juga bertujuan mengelak keciciran dalam kalangan pelajar terutama dari keluarga miskin.

"Justeru, manfaatkanlah bantuan bernilai RM200 ini dengan sebaik- baiknya bagi memastikan anak-anak kita dapat menimba ilmu dalam keadaan selesa," katanya.

Katanya, kesemua senarai penerima diperolehi daripada data bantuan e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarikei.

Nilai bantuan tahun ini juga telah ditambah dari RM100 ke RM200 selaras dengan kenaikan harga barangan di pasaran.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Sarikei, Baijuri Bidin, Pegawai Pendidikan Daerah, Radin Poji Radin Abdul Rahim dan Pengetua SMK Baru Sarikei, Awet Ghapor. -KLXpress/RazaliJidi-