25
Sab, Nov

Berita Rohingya Ke Serian Dan Bau, Palsu

Sarawak
Typography

KUCHING - Kerajaan Persekutuan memberi jaminan tidak akan berlaku penempatan pelarian Rohingya di Serian dan Bau seperti mana yang disebarkan di dalam media sosial.

Menteri Sumber Manusia Dato' Sri Richard Riot Jaem berkata, jaminan itu telah disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri dalam mesyuarat kabinet di Kuala Lumpur, Rabu lepas.

"Mesyuarat kabinet (Rabu) memberi komitmen dan jaminan bahawa pelarian Rohingya di Malaysia tidak akan dihantar ke Bau dan Serian seperti yang dilaporkan beberapa akhbar selepas ia tersebar secara meluas di media sosial," katanya ketika diminta mengulas mengenai berita itu.

Isu mengenai penghantaran rakyat Rohingya ke Sarawak itu telah disuarakan beliau sendiri yang merupakan Ahli Parlimen Serian.

Timbalan Perdana Menteri dalam jawapannya meminta rakyat tidak mudah percaya kepada berita palsu itu.

"Sebaliknya, beliau (Ahmad Zahid) meminta mereka yang mendapat berita sedemikian menerusi media sosial agar melaporkan kepada pihak berkuasa (polis) bagi membolehkan siasatan rapi dijalankan. 

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato' Sri Michael Manyin Jawong membantah penempatan semula pelarian Rohingya di Serian dan Bau seperti yang diuar-uarkan di dalam media sosial.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg ketika diminta mengulas isu yang sama berkata beliau hairan bagaimana isu tersebut boleh timbul sedangkan tidak ada maklumat sahih mengenainya diterima.

"Siapa yang mulakannya (di media sosial). Itu yang saya hairan," katanya ringkas dan enggan mengulas lebih panjang ketika ditemui media di Majlis Persidangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.