20
Rab, Sep

eUsahawan Dan eRezeki Diperkenalkan Bagi Tingkatkan Pendapatan Rakyat

Sarawak
Typography

KUCHING - Program Digital Kenyalang yang diadakan pada hari ini adalah untuk membawa rakyat merasai keberkesanan ekonomi digital dalam meningkatkan pendapatan perniagaan seperti yang diperkenalkan Ketua Menteri Sarawak pada masa ini. 

Menerusi program ini, rakyat akan didedahkan kepada dua inisiatif teras ekonomi digital kelolaan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), iaitu eUsahawan dan eRezeki.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, penglibatan rakyat kepada ekonomi digital seperti eUsahawan dan eRezeki akan mendedahkan kepada rakyat dengan pelbagai kaedah dan teknik bagi meningkatkan pendapatan. 

“Dengan mengikut inisiatif teras ekonomi seperti eUsahawan dan eRezeki akan mendedahkan rakyat dalam pelbagai kaedah dan teknik untuk meraih jualan serta menjana pendapatan tambahan secara ‘online’. 

“Inisiatif-inisiatif ekonomi digital adalah seiring dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang memberi tumpuan khusus kepada meningkatkan ekonomi yang berorientasikan rakyat.

"Sehubungan itu, kerajaan menerusi kerjasama MDEC akan membawa inisiatif eUsahawan dan eRezeki ini ke enam lokasi strategik lain antaranya Kuching, Samarahan, Sri Aman, Miri, Sibu dan Limbang selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Program Digital Kenyalang Sarawak di Penview Convention Centre di sini, pagi tadi.

Turut sama hadir Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg serta isteri Datin Patinggi Jumaini Tuanku Haji Bujang, Menteri Kewangan 2 dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Hajah Sharifah Hasidah binti Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden anak Hollis, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah bin Haji Saidol dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood. 

Sementara itu, Fatimah turut meminta agar kemudahan dan tempat latihan yang berteraskan ekonomi digital di Sarawak digunakan dengan sewajarnya dan maksimum.

“Tempat latihan seperti Borneo744, Magic, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Digital Innovation Hub oleh Tegas, Pusat Internet 1Malaysia dan Pusat Internet Desa, Kolej-Kolej Vokasional dan Politeknik akan dimanfaatkan sebagai pusat-pusat latihan yang bakal dipenuhi oleh rakyat Sarawak yang mahu mengambil peluang dari gelombang ekonomi digital,” tambahnya lagi. 

Dalam pada itu, Sarawak kini mempunyai seramai 13,118 usahawan yang telah berjaya menempatkan diri dalam industri antaranya 8,643 orang dari 1AZAM, 91 orang dari Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, 207 orang Jabatan Kebajikan Masyarakat, 146 dari MIED dan 4,031 orang dari MDEC. 

“Bagaimana pun, daripada jumlah 13,118 orang hanya 975 orang sahaja usahawan yang terlibat dalam ekonomi digital dan mengikuti kursus teknologi maklumat," katanya.

Namun, seramai 102 orang usahawan mikro telah berjaya meningkatkan pendapatan melalui teknologi maklumat dengan jumlah pendapatan keseluruhan yang dicapai sebanyak RM659,187 setahun.