17
Sel, Okt

Sarawak Laksana Inisiatif Transformasi Tarik Lebih Banyak Pelaburan Swasta Dalam Sektor Pertanian

Sarawak
Typography

KUCHING - Dalam usaha menarik lebih ramai pelabur swasta melabur di Sarawak, Kerajaan negeri Sarawak ketika ini sedang melaksanakan beberapa inisiatif transformasi ekonomi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata inisiatif transformasi ekonomi ini meliputi sektor-sektor utama seperti pertanian, perkilangan, pelancongan pembangunan bandar, keusahawanan dan alam sekitar.

"Antaranya, sektor pertanian akan ditransformasikan menerusi pemodenan, pengkomersialan dan pengaplikasian teknologi digital.

“Menerusi inisiatif ini, diharap kita dapat menarik lebih banyak pelaburan swasta dalam sektor pertanian,” katanya ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Openg merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Sarawak (SBIS) Ke-4 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Awang yang juga Menteri Pembangungan Perindustrian dan Keusahawanan berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) Sarawak telah meluluskan peruntukan RM20 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek.

Sebagai tambahan, kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM24.4 bilion di bawah Rolling Plan Pertama dan Kedua (2016-2018).

Antara projek utama yang sedang dibangunkan di Sarawak ialah Lebuh Raya Pan Borneo  bernilai RM16.5 bilion, Empangan Hidroelektrik Murum sebanyak RM4.1 bilion dan Empangan Hidroelektrik Balleh  bernilai RM8 bilion, Talian Penghantaran Utama Elektrik berjumlah RM2.7 bilion, Pelabuhan Perindustrian Samalaju berjumlah RM1.8 bilion dan Taman Perindustrian Samalaju  bernilai RM1 bilion, katanya lagi.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan terus memudahkan pelaburan asing di Sarawak dengan mengambil kira sektor swasta memiliki modal, teknologi terkini dan kepakaran pengurusan.

Jelasnya usaha itu sejajar dengan objektif-objektif Program Transformasi Sosioekonomi (SET) Sarawak.

Ini memfokuskan kepada bioekonomi yang merangkumi penggunaan biomas sebagai tenaga diperbaharui.

Menurutnya lagi, Sarawak yang kaya dengan sumber flora dan fauna berpotensi dalam bidang farmaseutikal dan perubatan di mana ia belum diterokai sepenuhnya.

Oleh sebab itu ujarnya, Sarawak akan mewujudkan majlis penyelidikan bagi menggalak serta menyelaras aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negeri ini.

Beliau berkata Pusat Penyelidikan Lembah Bio dalam Curtin Unversity, Miri bernilai RM60.6 juta telah siap dibina dan ia menyediakan kemudahankemudahan inkubator untuk R&D.

"Saya berharap sektor swasta akan memanfaatkan kemudahan-kemudahan disediakan di Pusat Penyelidikan Lembah Bio ini untuk menjalankan R dan D dalam bidang farmaseutikal dan perubatan. Sarawak akan memberi lebih fokus kepada bioekonomi termasuk memanfaatkan sepenuhnya biomas kita untuk tenaga diperbaharui," jelasnya.

Hadir sama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) Tan Sri Datuk Dr Michael Yeoh.