17
Sel, Okt

Mayat Datuk Dan Cucu Mangsa Lemas Di Sungai Batang Sadong Ditemu

Sarawak
Typography

SIMUNJAN – Mayat dua lelaki yang dikhuatiri lemas di sungai Batang Sadong di sini pada petang semalam telah ditemui pagi tadi.

 

Mayat Kajim Anak Aslan 77 tahun dan mayat cucunya Cardirwin ak Jefferi 27 tahun telah ditemui secara berasingan oleh pasukan SAR dan penduduk kampung yang menjalankan operasi mencari pada awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)Sarawak berkata, mayat pertama yang dijumpai oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) ialah Cardirwin yang ditemui pada jam 7.15 pagi manakala mayat Kajim ditemui oleh penduduk kampung 3 minit kemudian dalam jarak 25 kilometer dari jarak mayat  cucunya ditemui.

“Mayat mangsa pertama Cardirwin Anak Jefferi dijumpai pada jam 7:15 pagi tadi pada jarak 5 kilometer dari Pos Kawalan Bomba di Tanjung Sungku@Sungkau,Kampung Tegelam.

“Manakala mayat mangsa kedua iaitu Kajim Anak Aslan pula telah  dijumpai oleh penduduk kampung tersangkut pada tali tongkang yang berlabuh di Wharf Pekan Simunjan pada jam 07:18 pagi  di jumpai pada jarak 30 kilometer dari Pos Kawalan Bomba Kampung Tegelam,”katanya.

Katanya mayat kedua –dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selajutnya.

Terdahulu,dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6.30 petang semalam, mangsa Kajim Anak Aslan sedang menaiki bot dari Kampung Tegelam hendak menjemput cucunya Cardirwin di Kampung Lubok Punggor seberang sungai Batang Sadong.

Ketika hendak menghampiri tebing sungai Kampung Lubok Punggor berkenaan, bot yang dinaiki mangsa telah melanggar batang kayu lalu terbalik.

“Cucu mangsa ketika itu bersama rakannya yang menyaksikan kejadian tersebut terus terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Namun ketika kejadian, arus sungai agak deras dan telah menyebabkan mangsa bersama cucunya dihanyutkan air,”ujarnya.

 Rakan mangsa yang turut sama terjun walaubagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan berenang ke tebing seterusnya memaklumkan kejadian tersebut kepada orang kampung.