12
Sel, Dis

Rakyat Negeri Sarawak Bukan “Paloi” - Abang Jo

Sarawak
Typography

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan bahawa rakyat di negeri Sarawak tidak "paloi" atau dalam bahasa Melayu Sarawak iaitu "tidak bodoh untuk ditipu".

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg berkata, rakyat Sarawak pada masa kini tidak begitu mudah untuk dibohongi oleh Tun Mahathir dan juga parti pembangkang.

Abang Johari turut merasa agak pelik dengan tindakan Tun Mahathir yang kini telah menjadi ketua pembangkang dan mengorbankan prinsipnya dengan bekerjasama dengan pemimpin DAP Lim Kiat Siang yang suatu masa dulu pernah dimusuhinya.

“Kita merasa agak pelik sedikitlah Perdana Menteri lepas  (Tun Mahathir) kini telah menjadi ketua pembangkang dan mengorbankan prinsipnya bekerjasama dengan pemimpin DAP.

“Beliau pernah menjadi Perdana Menteri dan ketika dia menjadi perdana menteri saya juga menteri di peringkat negeri.

“Dia memang ada datang tetapi dalam pemerintahan beliau selama 22 tahun pernah kita minta bantuan daripada pusat untuk membangunkan negeri kita kerana kita kekurangan “fund”.

“Tunggu punya tunggu seperti sungai tak berbulu, sampai hari ini tiada jawapan yang diterima untuk memaklumkan peruntukan membangunkan jalan pesisir, kenapa? Saya pun tidak tahu.

"Mari kita tentukan nasib kita sendiri. Orang Sarawak bukan paloi (bodoh). Jangan bohong kami” katanya dalam sesi soal jawab ketika hadir pada program “Santai bersama Abang Jo" bersempena dengan Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2017 di Dewan Tun Abdul Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, sejak Datuk Patinggi Mohd Najib Tun Abdul Razak memegang jawatan Perdana Menteri, pelbagai pembangunan yang telah beliau bawakan kepada Sarawak termasuklah Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dalam proses pembinaan masa kini.

Projek lebuh raya berkenaan pernah dimohon kepada Tun Mahathir suatu masa dulu namun tidak pernah dihiraukan.

Permintaan Lebuh Raya Pan Borneo ini pernah dibuat sejak pentadbiran Mahathir selama 22 tahun yang lepas namun tiada jawapan.

“Tetapi apabila Perdana Menteri sekarang Datuk Patinggi Najib datang, dia prihatin dengan kita, maka wujudlah jalan Lebuh Raya Pan Borneo dari Kuching ke Lawas ini salah satu yang dibawakan oleh Datuk Najib,” ujarnya.

Abang Zohari turut berjanji yang beliau serta kepimpinan di peringkat negeri akan meneruskan usaha rundingan dengan Putrajaya bagi menuntut semula hak Sarawak seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Di samping itu, beliau akan berusaha untuk memastikan yang negeri ini akan terus ditadbir oleh parti yang benar-benar layak demi pembangunan negeri Sarawak.

"Saya akan melindungi BN di peringkat negeri dan saya akan pastikan (kerajaan) BN memberi respon kepada apa yang kita mahu," katanya yang juga merupakan Pengerusi BN Sarawak.