17
Sel, Okt

Mangsa Dikhuatiri Hilang Di Kebun Lada

Sarawak
Typography

SERIAN – Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Kampung Tesu Kura, Tebedu untuk pergi ke kebun lada miliknya di kawasan Kolok Puteh, Jalan Tebedu, di sini semalam.

Mangsa Peter anak Ben, berumur 50 tahun dilaporkan keluar pergi ke kebun lada miliknya sekitar jam 6 pagi semalam dan sehingga pagi tadi mangsa masih belum pulang ke rumah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, bimbang akan keselamatan mangsa ahli keluarganya telah membuat laporan polis awal pagi tadi setelah usaha awal mereka mencari mangsa di lokasi kejadian gagal menemui mangsa.

“Pihak Bomba telah menerima panggilan dari anggota polis dari Balai Polis Tebedu sekitar jam 9.15 pagi tadi bagi memaklumkan tentang kejadian berkenaan.

“Sebaik laporan diterima 7 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 46 kilometer dari BBP.

“Menurut laporan sekitar jam 6.00 pagi  bertempat di Kampung Tesu Kura, Tebedu, Serian mangsa telah keluar rumah dipercayai hendak ke kebun lada terletak di kawasan Kolok Puteh, Jalan Tebedu.

“Mangsa didapati tidak pulang ke rumah dan pencarian awal telah dilakukan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung namun mangsa gagal ditemui dan memaksa anggota keluarga membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Katanya, selain anggota Bomba seramai 2 orang anggota polis dan 50 orang penduduk kampung turut menyertai operasi pencarian mangsa.

Beliau turut memaklumkan yang Op SAR telah dijalankan mengikut teknik “follow the stream” dengan jarak 1 kilometer dari Pos Kawalan Operasi Bomba (PKOB).