12
Sel, Dis

Perubahan Ke Arah Teknologi Cabaran Kepada Industri Penerbitan Di Malaysia

Sarawak
Typography

KUCHING - Perubahan ke arah era teknologi menjadi satu cabaran kepada industri penerbitan untuk mengekalkan jumlah pembaca yang lebih cenderung ke platform mudah alih terutama anak muda.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata, dengan adanya teknologi digital pembaca boleh membaca surat khabar atas talian hanya dengan telefon mudah alih mereka. 

"Teknologi digital bersifat di luar jangkaan kerana teknologi digital akan menimbulkan pelbagai cara baru untuk melakukan perkara-perkara yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini," katanya dalam teks ucapan perasmian yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Perasmian International Conference on Borneo Book Publishing and Borneo Talk Fair 2017, di sini semalam.

Katanya lagi, kerjasama semua orang diperlukan termasuk persatuan bukan kerajaan, sekolah dan universiti bagi menyemai minat membaca dan menulis di kalangan anak muda.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua guru sekolah di sini yang menyertai persidangan ini kerana anda telah membuat pilihan yang tepat untuk berada di sini. 

“Saya mencabar anda sekarang untuk mengambil langkah seterusnya iaitu menulis kerana anda tidak boleh menulis tanpa membaca dan ini adalah sebahagian daripada pembelajaran sepanjang hayat,” tambahnya lagi.

Beliau turut menyokong kepentingan persidangan ini di mana UNESCO memantau kedua-dua bilangan dan jenis buku yang diterbitkan setiap negara setahun kerana ia merupakan indeks penting dalam kehidupan dan pendidikan.

Malaysia adalah jauh di belakang Amerika, United Kingdom dan China maka Malaysia perlu menerbitkan sekurang-kurangnya 2,700 tajuk setiap tahun untuk setanding dengan negara-negara tersebut berdasarkan populasi masyarakat di Malaysia.

Malaysia harus menerbitkan sekitar 30 hingga 40 ribu tajuk tetapi berdasarkan statistik, Malaysia belum mencapai 20 ribu tajuk.

“Saya menggalakkan semua orang untuk meningkatkan bilangan tajuk mengenai Sarawak, dan perpustakaan mesti membeli buku-buku dari penulis-penulis tempatan ini kerana seperti yang saya nyatakan sebelum ini, selain dari budaya, bahasa dan masyarakat terutamanya masyarakat muda kita, berhijrah ke penerbitan dalam platform mudah alih.

“Tetapi secara peribadi, saya  percaya bahawa ebook dan buku bercetak akan wujud bersama kerana ada orang yang lebih suka membaca buku-buku cetak tetapi tidak dapat dinafikan, ada juga orang yang suka buku elektronik. Tetapi, kebanyakan pembaca boleh menerima kedua-duanya dan inilah saya fikir senario untuk masa depan kelak,” jelasnya lagi.

Justeru itu, beliau menyatakan bahawa masyarakat harus seiring dengan peredaran era teknologi terkini untuk menghasilkan produk-produk baru. 

“Oleh itu, saya menjemput penerbit buku tempatan untuk meningkatkan bukan sahaja buku fizikal tetapi juga buku elektronik yang boleh berinteraksi secara aktif dengan pembaca dan saya yakin UNIMAS dapat memainkan peranannya untuk meningkat penulisan dan penerbitan sebagai sebahagian aktiviti daripada pembangunan sastera kita di negeri,” ujarnya.

 

Hadir bersama pada majlis berkenaan Datu Dr Hatta Solhi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Professor Datuk Dr Mohammad Kadim Suaidi, Naib Canselor UNIMAS.